Lebih 476,000 permohonan masuk Tahun Satu 2027

Lebih 476,000 permohonan masuk Tahun Satu 2027


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan merekodkan lebih 476,000 permohonan kemasukan Tahun Satu bagi sesi 2027, setakat Jun.

Daripada jumlah itu, lebih 73,000 permohonan melibatkan usia enam tahun (kohort 5+) dan lebih 403,000 permohonan daripada kohort 6+ bagi kemasukan pada usia tujuh tahun.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, persiapan bagi kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu pada 2027 di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada pembinaan kelas tambahan di beberapa negeri yang berdepan isu kepadatan murid.

“Setakat ini berjalan seperti yang dirancang dan kita sedang memberikan tumpuan kepada pembinaan kelas-kelas tambahan sebagaimana yang kita maklumkan sebelum ini untuk beberapa negeri yang mempunyai isu berkaitan kepadatan murid dan kelas padat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini hari ini.

Mengulas pengambilan guru bagi menampung keperluan pelaksanaan dasar tersebut, Fadhlina berkata, proses berkenaan berjalan seperti biasa mengikut perancangan kementerian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, projek penyelenggaraan dan menaik taraf bilik guru yang diumumkan sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan sebelum ini turut diteruskan tanpa sebarang perubahan.

“Kita juga telah umumkan semasa Hari Guru mengenai penyelenggaraan dan naik taraf bilik guru yang berkait rapat dengan suasana serta kondisi di sekolah. Saya kira projek itu berjalan seperti biasa juga,” katanya.

Mengenai pemberian baucar buku RM100 kepada pelajar sekolah menengah, beliau berkata, pengagihan akan dilaksanakan selepas sesi persekolahan bersambung semula selepas cuti sekolah.

“Sekarang ini sedang cuti sekolah dan anak-anak masih bercuti. Selepas mereka masuk semula ke sekolah pada sesi akan datang, kita akan menyerahkan baucar tersebut kepada mereka,” katanya. – UTUSAN 



Source link

OR

Scroll to Top