am@hmetro.com.my
Kluang: Remaja yang memandu Mercedes Benz secara melulu dan berbahaya hingga berlaku kemalangan meragut nyawa empat sekeluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang, Isnin lalu disambung reman sehari lagi di Mahkamah Majistret hari ini.
Perintah lanjutan reman dibenarkan Hakim Mujib Saroji selepas tempoh tahanan dua hari suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berakhir hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dengan tempoh reman terhadap suspek disambung, pihaknya akan merujuk kertas siasatan ke Pejabat Pendakwaan Negeri Johor (PPNJ) hari ini.
“Kita sedang menunggu arahan lanjut daripada PPNJ untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Terdahulu, suspek yang juga penuntut sebuah universiti di Singapura berusia 19 tahun tiba di Mahkamah Majistret, di sini jam 8.30 pagi dengan diiringi polis.
Lelaki itu ditahan selepas kemalangan membabitkan lima kenderaan yang turut meragut empat sekeluarga yang menaiki Toyota Vios.
Suspek adalah individu yang memandu secara berbahaya bersama abangnya berusia 22 tahun, memandu BMW 530e hingga menyebabkan kemalangan pada jam 1.15 tengah hari semalam.
Kemalangan itu menyebabkan abang suspek juga maut.
Semalam, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat sebelum dibenarkan reman dua hari.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga Semek Mat Soh, 73, anak dan menantunya, Nor Azlina Abd Latip, 33. dan Aiman Mohd Rashid, 36;serta Nur Airish Syifa Sidek, 10, maut dalam nahas terbabit.
Kesemua mereka yang maut dilaporkan dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke Kota Tinggi.
Jenazah empat sekeluarga selamat dikebumikan di kampung halaman mereka di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu, pagi semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd






