Bekalan gas negara mencukupi bagi keperluan domestik, industri

Bekalan gas negara mencukupi bagi keperluan domestik, industri


KUALA LUMPUR: Tahap bekalan gas dalam negara masih stabil dan mencukupi bagi menampung keperluan domestik serta industri tanpa perlu bimbang terhadap sebarang gangguan akibat ketegangan pasaran luar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang berkata, kedudukan rantaian bekalan tenaga Malaysia buat masa ini berada dalam keadaan yang selamat atas faktor kebergantungan luar yang sangat minimum.

“Sekarang bekalan masih stabil malah untuk penjanaan elektrik dalam Malaysia, sebanyak 80 peratus adalah daripada sumber domestik.

“Jadi kita tidak terlalu bergantung pada bekalan luar. Mungkin ada baki 20 peratus (sumber luar), tetapi secara keseluruhannya kita kurang bergantung. Buat masa sekarang memang penjanaan bekalan cukup dan kita tidak perlu bimbang sangat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran rasmi “Merevolusikan Industri dengan Graphene” di sini, semalam.

Mengulas mengenai majlis tersebut, Lih Kang menyatakan komitmen NanoMalaysia Berhad (NMB), sebuah agensi di bawah MOSTI, dalam memacu pembangunan dan pengomersialan penyelesaian berasaskan grafen menerusi Pelan Tindakan Graphene Kebangsaan 2020 serta Program Inovasi Graphene di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Ke-12 (RMK12).

“Melalui inisiatif ini, NMB telah berjaya membawa pemain industri, universiti dan institusi penyelidikan di atas satu platform tiga-heliks bagi merangsang permintaan pasaran dan mempercepatkan pertumbuhan ekosistem grafen Malaysia.

“Lebih penting lagi, hasilnya kini sudah mula kelihatan merentasi pelbagai industri melalui penyertaan syarikat pemula, Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS)  dan korporat besar tempatan sebagai rakan kongsi komersial,” katanya. 

Projek tersebut yang dibangunkan dengan kerjasama Levidian yang berpangkalan di United Kingdom (UK), menyaksikan penggunaan teknologi LOOP yang berupaya menukarkan metana kepada grafen berkualiti tinggi dan gas kaya hidrogen, sekali gus membuka kunci nilai baharu daripada infrastruktur gas sedia ada untuk aplikasi industri yang lebih bersih.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Azli Mohamed berkata, tiada isu kekurangan bekalan gas dalam sektor industri tempatan memandangkan volum yang diterima daripada Petronas adalah mencukupi menerusi perjanjian bertimbal balik.

Katanya, rantaian ekosistem gas tempatan tidak mempunyai hubung kait langsung dengan konflik di Asia Barat.

“Kami tidak bergantung kepada Asia Barat. Sumber gas kami bergantung kepada pasaran domestik, Australia dan sedikit dari Amerika Syarikat (AS). Gas Malaysia mampu membekalkan gas kepada lebih 1,000 pelanggan kami tanpa masalah,” katanya.

Bagaimanapun, Azli berkata, impak pasaran ketika ini lebih terarah kepada elemen lain seperti kos pengangkutan yang meningkat ekoran tekanan rantaian bekalan global.

Sebagai contoh, industri sarung tangan yang merupakan segmen terbesar di bawah Gas Malaysia terpaksa berdepan cabaran logistik bagi mendapatkan bahan mentah dari Korea dan China, selain isu tenaga kerja pasca Covid-19.

“Impak krisis tenaga global (secara langsung) sebenarnya belum melanda mereka. Untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang adalah agak jauh untuk dijangka, namun kami melihat tempoh enam hingga 12 bulan ini sebagai fasa pembetulan (correctional period). Kami sentiasa berkomunikasi dengan pelanggan bagi memahami kekangan perniagaan mereka,” katanya. –UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top