Bahagia hanya 4 bulan – Sempat suap makanan sebelum isteri pergi buat selama-lamanya

Bahagia hanya 4 bulan – Sempat suap makanan sebelum isteri pergi buat selama-lamanya


nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keterujaan pasangan pengantin baharu untuk menimang cahaya mata bertukar menjadi detik duka bagi Muhammad Adib Mohd Razin, 31, apabila isterinya meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan semasa mengandung.

Menceritakan kisahnya, Muhammad Adib berkata, dia dan isterinya, Hajar Atikah Nazirah Yacoob, 37, berkahwin pada 31 Januari lalu.

“Saya mengenali isteri sejak Oktober 2024 selepas diperkenalkan oleh rakan. Sikap isteri yang berani jujur menyatakan dia mempunyai masalah kesihatan jantung berlubang sejak kecil menyebabkan saya hormat padanya.

“Saya tahu dia mengandung pada 18 April lalu ketika usia kandungannya empat minggu. Ketika itu, saya terkejut dan risau. Namun, isteri tenangkan saya dan minta saya tidak bimbang,” katanya.

Muhammad Adib yang juga pembantu kemahiran berkata, selepas kandungan masuk minggu keenam, isterinya mula mual sebelum dia membawa isterinya berjumpa pakar untuk mengetahui tahap kesihatannya.

“Selepas perjumpaan dengan pakar, isteri dimasukkan ke dalam wad sejak 8 Mei lalu kerana janin didapati tersangkut dalam perut.

“Pakar maklumkan kandungan mesti dikeluarkan bagi menyelamatkan nyawa isteri. Kami bersetuju untuk mengeluarkan janin berkenaan. Namun selepas pembedahan, tahap oksigen isteri menjadi tidak stabil,” katanya.

Menurutnya, dia sempat menyuapkan makanan kepada isterinya sebelum Hajar disahkan meninggal dunia pada 31 Mei lalu ketika menerima rawatan di Hospital Serdang.

“Saya bawa masakan ibu ke hospital untuk isteri. Ketika saya suapkan makanan, saya nampak tahap oksigennya menurun sebelum saya terus memanggil jururawat bagi memeriksa keadaan isteri.

“Selepas beberapa minit menunggu, saya dimaklumkan isteri meninggal dunia. Jenazah isteri dibawa balik ke kampung halamannya di Port Dickson, Negeri Sembilan untuk dikebumikan,” katanya.

Katanya, dia terkejut dan sedih dengan pemergian arwah isterinya pada tarikh genap empat bulan mereka berkahwin.

“Saya ada banyak rancangan untuk dilakukan bersama-samanya. Kebanyakan masa, isteri selalu duduk di rumah dan apabila saya bawa dia pergi berjalan ke Bukit Fraser, dia sangat seronok.

“Saya ada merancang untuk membawa isteri ke Cameron Highlands sebelum balik ke kampung keluarga angkat saya di Besut, Terengganu semasa Hari Raya Aidiladha lalu. Namun, hasrat saya tidak kesampaian apabila dia dimasukkan ke hospital.

“Sejujurnya, saya dan ahli keluarga kami terkejut dengan pemergiannya kerana sebelum ini meskipun tahap oksigennya hanya 30 peratus, dia masih boleh bersembang,” katanya.

Mengulas mengenai hantaran mengenai kisah isterinya yang dimuat naik di media sosial menjadi tular, Muhammad Adib berkata, dia berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan isterinya.

“Rancangan saya seterusnya adalah untuk menyelesaikan hutang isteri serta membuat badal haji untuknya.

“Ini kerana sebelum ini kami ada merancang untuk menunaikan umrah bersama keluarga pada tahun depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top