am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tarif semasa sebanyak 10 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia hanyalah langkah sementara dan akan tamat tempoh selepas 150 hari.
Selain itu, beliau berkata struktur tarif baharu akan ditentukan berdasarkan rundingan yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat (AS).
Johari menjelaskan bahawa pendedahan Malaysia tertumpu kepada dua isu utama iaitu kapasiti akses pasaran dan isu buruh paksa, manakala kebimbangan berkaitan alam sekitar serta subsidi kerajaan tidak terpakai kepada Malaysia.
“Malaysia tidak mengamalkan buruh paksa, namun isu ini timbul kerana terdapat barangan yang diimport dari negara ketiga dan kita tidak mempunyai mekanisme untuk mengesahkan sama ada buruh paksa terlibat dalam pengeluarannya,” katanya kepada New Straits Times.
Susulan itu, AS telah mencadangkan tarif sebanyak 10 peratus yang dikaitkan dengan kebimbangan terhadap isu buruh paksa.
Johari menjelaskan bahawa kadar tarif muktamad akan bergantung kepada hasil rundingan mengenai akses pasaran, yang akan menentukan sama ada kadar keseluruhan kekal pada 10 peratus atau meningkat lebih tinggi.
Pada Selasa, AS mencadangkan pengenaan duti tambahan sebanyak 10 peratus atau 12.5 peratus ke atas import dari 60 ekonomi termasuk Malaysia.
Cadangan itu dibuat susulan semakan oleh Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) terhadap usaha negara-negara berkenaan dalam membendung perdagangan barangan yang dikaitkan dengan buruh paksa.
Di bawah cadangan itu, Malaysia berada dalam kumpulan ekonomi yang berdepan tarif 10 peratus, manakala 45 ekonomi lain mungkin dikenakan tarif 12.5 peratus.
Johari berkata, tarif 10 peratus yang dicadangkan itu bukanlah cukai tambahan di atas tarif sementara yang sedang dibayar ketika ini.
“Bukan tambahan kepada apa yang kita bayar sekarang. Tarif 10 peratus itu adalah di bawah langkah sementara. Pandangan saya mudah. Semua ini hanya kurang menguntungkan pihak yang mengeksport ke AS.
“Jadi, prospek penurunan tarif daripada 19 peratus kepada 10 peratus adalah lebih baik berbanding sebelum ini. Apabila tarif 10 peratus yang kita bayar dalam tempoh 150 hari itu tamat, tarif 10 peratus baharu ini akan menggantikannya,” katanya.
Johari berkata, Malaysia sedang berunding dengan pihak berkuasa AS untuk membentangkan pendirian negara, walaupun Malaysia ketika ini tidak mempunyai perundangan yang meliputi amalan buruh paksa di negara ketiga.
Beliau berkata, kesan utama akan dirasai oleh pengeksport yang menghantar barangan ke AS kerana tarif yang lebih tinggi boleh meningkatkan harga produk dan seterusnya mengurangkan permintaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keadaan semasa masih lebih baik berbanding tarif 19 peratus yang diumumkan sebelum ini kerana pengurangan kepada 10 peratus dapat mengurangkan tekanan terhadap pengeksport Malaysia.
“Apabila kita mengeksport ke AS, tarif itu akhirnya dibayar oleh pengguna di sana. Jika produk menjadi lebih mahal, jumlah pesanan mungkin berkurangan. Namun, produk keperluan asas akan terus dijual,” katanya.
Beliau menambah bahawa cadangan itu masih dalam peringkat pertimbangan dan keputusan akhir bergantung kepada hasil perbincangan Malaysia dengan AS.
Kumpulan industri bimbang daya saing terkesan
Sementara itu, kumpulan industri berpendapat tarif baharu AS itu boleh melemahkan akses pasaran dan daya saing eksport Malaysia, selain meningkatkan tekanan ke atas pengeksport yang berdepan kos operasi yang semakin meningkat.
Presiden Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok, berkata cadangan itu melangkaui isu standard buruh semata-mata kerana ia turut memberi implikasi kepada akses pasaran, daya saing eksport dan perdagangan rentas sempadan.
“Cadangan ini juga menghantar mesej yang lebih luas bahawa pematuhan buruh, keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kebolehkesanan rantaian bekalan semakin menjadi faktor penting dalam menentukan akses pasaran,” katanya.
Menurut beliau, sektor yang berkemungkinan paling terjejas termasuk produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera dan peralatan, peranti perubatan, produk getah, perabot, tekstil dan pakaian, serta pengeluar terpilih dalam sektor kimia, plastik dan barangan pengguna.
“Kesan terhadap setiap syarikat bergantung kepada kadar tarif akhir, skop produk yang terlibat serta kemampuan perniagaan untuk menyerap atau memindahkan kos tambahan tersebut kepada pelanggan,” katanya.
FMM menggesa agar penglibatan berterusan antara pihak berkuasa Malaysia dan AS diteruskan bagi memastikan usaha Malaysia dalam memperkukuh standard buruh, mekanisme penguatkuasaan dan tadbir urus rantaian bekalan diiktiraf sepenuhnya sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), William Ng, berkata tarif yang dicadangkan itu akan menjadi cabaran besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang kebanyakannya beroperasi dengan margin keuntungan yang tipis akibat peningkatan kos buruh dan tenaga.
Menurutnya, memindahkan kos tambahan kepada pelanggan boleh menyebabkan produk Malaysia menjadi kurang kompetitif di pasaran AS, manakala menyerap kos pula akan mengurangkan dana yang boleh digunakan untuk automasi, peningkatan operasi dan pematuhan ESG.
Sokongan kerajaan diperlukan
Presiden Persatuan SME Malaysia, Dr Chin Chee Seong, berkata kebanyakan PKS akan menghadapi kesukaran untuk menyerap kos tambahan akibat tarif baharu dalam keadaan ekonomi global yang lemah, ketidaktentuan geopolitik dan peningkatan kos perniagaan.
Beliau mengenal pasti sektor elektronik, jentera, perabot, produk getah, plastik dan industri sokongan rantaian bekalan sebagai antara sektor yang paling terdedah kepada tarif yang dicadangkan itu.
“Kebimbangan terbesar ialah daya saing. PKS Malaysia bukan sahaja bersaing dengan syarikat tempatan, tetapi juga dengan syarikat dari Vietnam, Indonesia, Thailand, India dan ekonomi serantau lain.
“Tarif yang lebih tinggi akan menjadikan produk Malaysia lebih mahal dan kurang menarik kepada pembeli di AS, sekali gus mengurangkan daya saing kita di pasaran global,” katanya.
Masih ada ruang diplomasi
Walaupun terdapat kebimbangan daripada kumpulan industri, ahli ekonomi percaya masih terdapat ruang untuk rundingan.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata kejutan tarif semakin menjadi perkara biasa apabila AS terus melaksanakan dasar perlindungan perdagangan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran domestik.
Beliau berkata Malaysia boleh menggunakan saluran diplomatik untuk menunjukkan bahawa kebimbangan berkaitan isu buruh sedang ditangani, sambil menegaskan bahawa amalan ESG dan kelestarian kini telah menjadi standard dalam kalangan syarikat besar.
“Saya berpendapat ruang untuk rundingan masih terbuka dan kerajaan boleh mengemukakan hujah bahawa isu buruh paksa sedang ditangani,” katanya.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA, Mohamad Idham Md Razak pula menyifatkan kesan yang berpotensi berlaku sebagai pelarasan jangka pendek dan bukannya kemerosotan struktur jangka panjang.
Beliau berkata, asas eksport Malaysia yang pelbagai serta integrasi kukuh dalam rantaian bekalan global akan membantu mengurangkan impak tersebut, manakala cadangan tarif itu boleh mendorong penambahbaikan lanjut dalam standard pematuhan dan aktiviti bernilai tambah.
Idham turut menegaskan bahawa kadar tarif 10 peratus yang dicadangkan untuk Malaysia adalah lebih rendah berbanding kadar 12.5 peratus yang dicadangkan ke atas beberapa ekonomi lain, sekali gus berpotensi memberikan kelebihan relatif kepada pengeksport Malaysia dalam rantaian bekalan yang terjejas.
“Secara keseluruhannya, situasi ini bukanlah mengenai kehilangan daya saing, tetapi lebih kepada bagaimana Malaysia mengekalkan kedudukan yang relatif lebih baik sambil menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan perdagangan global,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






