Saya bukan wira buat Colombia – Daniel Munoz

Saya bukan wira buat Colombia – Daniel Munoz

Saya bukan wira buat Colombia – Daniel Munoz


Guadalajara: Jaringan tunggal Daniel Munoz memastikan Colombia mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menewaskan DR Congo 1-0 dalam aksi Kumpulan K.

Munoz muncul wira Colombia apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-76 selepas pasukannya berdepan tentangan sengit daripada penjaga gol DR Congo, Lionel Mpasi yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Colombia mengumpul enam mata daripada dua perlawanan sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati lebih awal.

Skuad kendalian Nestor Lorenzo menguasai sebahagian besar permainan dan mencipta banyak peluang, namun Mpasi berkali kali menggagalkan usaha mereka untuk membuka jaringan.

Penjaga gol DR Congo itu menafikan percubaan Jhon Arias dan Luis Diaz, termasuk satu peluang terbaik Diaz pada minit ke-18 yang berjaya diselamatkan menggunakan kaki.

DR Congo yang turun dengan semangat tinggi selepas mengikat Portugal 1-1 dalam aksi pembukaan turut memberi ancaman menerusi Edo Kayembe, Cedric Bakambu dan Yoane Wissa, namun gagal mencari sentuhan penyudah.

Selepas rehat, Colombia terus menggandakan asakan dengan Diaz sekali lagi memaksa Mpasi melakukan penyelamatan penting sebelum Arias mensia siakan peluang keemasan di depan gol.

Ketika DR Congo hampir mengejutkan lawan menerusi percubaan Wissa pada minit ke-73, Colombia akhirnya menemui gol kemenangan tiga minit kemudian hasil rembatan Munoz dari sebelah kanan kotak penalti.

“Hanya kerana saya menjaringkan gol tidak bermakna saya wira. Kami memperoleh tiga mata sebagai satu pasukan. Colombia adalah sebuah keluarga,” kata Daniel Munoz.

Diaz kemudian menyangka dia berjaya menggandakan kelebihan Colombia, namun jaringan itu dibatalkan selepas pengadil mengesan kedudukan ofsaid.

Lorenzo memuji kesabaran pemainnya dalam memecahkan benteng pertahanan lawan.

“Menentang pasukan seperti itu, anda perlu mencari ruang. Jika terlalu mudah dijangka, mereka akan menekan dan melakukan serangan balas,” katanya.

Colombia kini berada di puncak kumpulan dan akan menentang Portugal dalam aksi terakhir, manakala DR Congo yang mengumpul satu mata masih mempunyai peluang untuk mara jika mencatat keputusan positif ketika menentang Uzbekistan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top