Pemain England menjalani latihan di bawah terik matahari di Palm Beach Gardens, Florida.
CUACA ekstrem yang dijangka melanda Amerika Syarikat (AS) berpotensi mengganggu jadual perlawanan England pada saingan Piala Dunia 2026, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kelancaran kejohanan berkenaan.
Laporan ramalan cuaca antarabangsa menjangkakan kemungkinan ribut kuat dan keadaan cuaca tidak menentu sepanjang tempoh kejohanan yang boleh memberi kesan kepada jadual perlawanan, aspek keselamatan stadium serta operasi logistik di lokasi terlibat.
Menurut media tempatan, pihak penganjur sedang memantau rapat perkembangan itu bagi memastikan keselamatan pemain dan penyokong tidak terjejas, selain merangka pelan kontingensi sekiranya keadaan memerlukan perubahan jadual atau pelarasan venue.
England yang berada dalam kalangan pasukan pilihan kejohanan, berdepan kemungkinan pelarasan jadual perlawanan bergantung kepada situasi cuaca di beberapa bandar tuan rumah di AS, Kanada dan Mexico.
Perkembangan lanjut dijangka diumumkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan jawatankuasa penganjur selepas penilaian risiko cuaca dilakukan menjelang kejohanan tersebut.
Skuad The Three Lions menjadikan The Inn at Meadowbrook di Prairie Village, Kansas sebagai kem pangkalan utama mereka di AS.
England akan memulakan cabaran Kumpulan L menentang Croatia pada 18 Jun (4 pagi waktu Malaysia) sebelum berdepan Ghana dan Panama dalam usaha memburu gelaran dunia kedua selepas kejayaan pada 1966.





