Kerajaan menyediakan sebanyak 160,000 unit rebat bernilai RM32 juta menerusi Program Nikmat Untuk Rakyat (NUR@PETRA) 2026 bagi membantu rakyat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan kos bil isi rumah.
Program yang dilaksanakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) sebagai agensi pelaksana bagi Kategori Domestik sudah bermula sejak Julai lalu.
Menerusi inisiatif tersebut, pengguna domestik yang layak boleh menikmati rebat RM200 bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga yang mempunyai label kecekapan tenaga empat atau lima bintang daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) atau Energy Commission of Sabah (ECoS).
Menurut pemohon Program NUR@PETRA, Muhammad Aliff Zulkifli, 24, berkata penggunaan peralatan elektrik yang mempunyai label kecekapan tenaga empat atau lima bintang berpotensi membantu mengurangkan penggunaan tenaga elektrik isi rumah.
Program berkenaan turut memberi kesedaran kepada pengguna mengenai kepentingan penggunaan tenaga secara cekap dan kesannya terhadap alam sekitar.

“Sebenarnya program NUR@PETRA ini sangat membantu saya dari segi penjimatan bil elektrik bulanan. Kita faham label empat atau lima bintang ini mampu merendahkan lagi penggunaan tenaga bulanan kita.
“Saya juga tidak dapat nafikan program ini membantu saya untuk meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar kerana melalui program ini saya dapat lihat ia dapat mengurangkan pelepasan karbon dan juga menyokong kelestarian alam,” katanya ketika ditemu bual Oh My Media.
Mengulas mengenai pemberian rebat RM200, Alif berkata insentif itu dapat mengurangkan beban kewangan pengguna ketika membeli peralatan elektrik cekap tenaga, sekali gus menjadikannya lebih mampu milik.
Katanya, sebagai contoh, sekiranya sebuah peti sejuk cekap tenaga berharga kira-kira RM1,200, pengguna hanya perlu membayar sekitar RM1,000 selepas menerima rebat RM200.
“Jadi, saya melihat rebat ini membantu untuk mengurangkan beban kos. Saya bagi satu contoh, kalau harga peti ais cekap tenaga boleh dikatakan sekitar RM1,200, tetapi selepas kita dapat rebat RM200 itu, kita hanya perlu bayar RM1,000 sahaja.
“Jadi, rebat ini boleh menjadikan peralatan cekap tenaga lebih mampu milik kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Alif menyifatkan inisiatif kerajaan berkenaan sebagai langkah positif kerana bukan sahaja membantu dari aspek kos sara hidup, malah menggalakkan masyarakat menggunakan peralatan yang lebih cekap tenaga.
Dia berkata, pemberian insentif seperti itu juga penting bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.
“Pertama sekali, saya rasa inisiatif ini sangat positif sebab melalui rebat tunai ini ia mampu membantu dari segi kos sara hidup.
“Secara tidak langsung, disebabkan tahap literasi dalam kelestarian alam sekitar dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak begitu tinggi, saya rasa inisiatif ini sangat membantu sebab ia memberi galakan kepada orang awam, kepada rakyat Malaysia secara umumnya untuk teruskan kehidupan dengan menggunakan peralatan yang cekap tenaga,” tambahnya lagi.
Manakala pengguna domestik kedua, Ridwan Nasa, 27, berkata, dia mengetahui mengenai program itu menerusi media sosial dan beberapa perkongsian dalam talian.
Baginya pula pemberian rebat RM200 di bawah NUR@PETRA menjadikan pembelian peralatan elektrik cekap tenaga lebih berpatutan kepada pengguna.

“Saya ada tahu mengenai Program NUR@PETRA. Saya nampak maklumat mengenainya di media sosial dan beberapa perkongsian dalam talian.
“Pada saya, program ini memang menarik sebab boleh membantu orang ramai membeli peralatan elektrik yang lebih cekap tenaga dengan harga yang lebih berpatutan,” katanya.
Mengulas faktor yang mendorongnya memilih peralatan elektrik cekap tenaga, Ridwan berkata penjimatan bil elektrik dalam tempoh panjang menjadi pertimbangan utama.
Ujarnya, meskipun harga permulaan bagi sesetengah peralatan cekap tenaga mungkin lebih tinggi, penggunaan elektrik yang lebih rendah menjadikannya pilihan yang lebih berbaloi.
“Bagi saya, faktor utama ialah penjimatan bil elektrik untuk jangka masa panjang. Walaupun harga permulaan mungkin sedikit lebih mahal, saya rasa ia lebih berbaloi kerana penggunaan elektrik lebih rendah.
“Selain itu, saya juga melihat label kecekapan tenaga sebagai salah satu penanda bahawa produk tersebut lebih berkualiti dan mesra alam,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ridwan menjelaskan penggunaan peralatan cekap tenaga secara konsisten juga berpotensi memberikan kesan positif terhadap bil elektrik bulanan kerana peralatan berkenaan menggunakan tenaga dengan lebih efisien.
“Saya percaya memang boleh membantu. Peralatan cekap tenaga menggunakan elektrik dengan lebih efisien, jadi penggunaan tenaga harian menjadi lebih rendah.
“Jika digunakan secara konsisten dalam tempoh yang lama, kesannya pada bil elektrik bulanan akan lebih ketara. Jadi walaupun kos pembelian mungkin sedikit tinggi pada awalnya, penjimatan itu boleh dirasai dari semasa ke semasa,” kongsi Ridwan.
Malah, dia turut menyifatkan NUR@PETRA sebagai inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat kerana bukan sahaja membantu mengurangkan kos pembelian peralatan elektrik, malah menggalakkan masyarakat membuat pilihan yang lebih menjimatkan tenaga.
“Ini merupakan satu inisiatif yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat. Ia bukan sahaja membantu mengurangkan kos pembelian peralatan elektrik, malah secara tidak langsung menggalakkan masyarakat memilih produk yang lebih menjimatkan tenaga dan lebih mesra alam.
“Saya harap program seperti ini dapat diteruskan dan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripadanya,” jelasnya lagi.
Sementara itu, menurut pengusaha Family Aircond & Electrical Engineering, Steven Yap, 40, berkata, program berkenaan memberi manfaat kepada pengguna kerana membantu mengurangkan kos pembelian peralatan elektrik cekap tenaga, selain menggalakkan masyarakat membuat pilihan yang lebih menjimatkan penggunaan elektrik.

Berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan permohonan rebat melibatkan pembelian penyaman udara cekap tenaga berbanding peralatan elektrik lain seperti peti sejuk.
“Setakat ini, kebanyakan permohonan adalah untuk penyaman udara (aircond). Pelanggan lebih berminat mendapatkan peralatan yang dapat membantu mengurangkan penggunaan elektrik dalam jangka panjang,” katanya.
Steven berkata, walaupun pemberian rebat RM200 membantu meringankan kos pembelian, jumlah insentif tersebut masih boleh dipertingkatkan bagi menjadikan program itu lebih menarik kepada pengguna.
“Memang ada manfaatnya, tetapi insentif sebanyak RM200 masih kurang menarik. Saya mencadangkan supaya kuota ditambah kerana setiap isi rumah tidak sepatutnya dihadkan kepada satu alamat dan satu peralatan sahaja untuk membuat permohonan,” jelasnya.

Menurutnya, fleksibiliti dari segi jumlah permohonan penting terutama bagi kediaman yang mempunyai lebih daripada satu keperluan peralatan elektrik, selain dapat memastikan lebih ramai pengguna mendapat manfaat daripada program tersebut.
Mengulas mengenai penerimaan pelanggan terhadap peralatan cekap tenaga yang mungkin mempunyai harga lebih tinggi berbanding produk biasa, Steven berkata sebahagian pengguna bersedia membayar kos tambahan kerana menyedari manfaat penjimatan elektrik dalam tempoh panjang.
“Pelanggan yang membuat bayaran secara tunai kebanyakannya sanggup membayar lebihan kos jika diperlukan kerana mereka melihat manfaat jangka panjang daripada penggunaan peralatan cekap tenaga,” kata Steven.
Dalam membantu pelanggan mendapatkan manfaat daripada Program NUR@PETRA, dia berkata pihaknya sentiasa memberikan penerangan terperinci berkaitan syarat kelayakan, proses permohonan serta langkah-langkah yang perlu dilakukan.

“Saya akan memberikan penjelasan yang terperinci kepada setiap pelanggan supaya mereka memahami proses dan syarat permohonan,” ujarnya.
Menurut Steven, pelaksanaan program itu juga memberi peluang kepada pihak peniaga untuk membantu pengguna memahami mekanisme permohonan dengan lebih baik, selain memastikan setiap pelanggan dapat membuat pilihan peralatan elektrik cekap tenaga yang bersesuaian.
Dia bagaimanapun berpandangan terdapat ruang untuk menambah baik proses permohonan pada masa akan datang supaya ia menjadi lebih mudah dan mesra pengguna.
“Proses permohonan agak rumit bagi sesetengah pelanggan, dan ada kalanya permohonan turut ditolak. Jadi, penambahbaikan dari segi sistem permohonan boleh membantu melancarkan lagi proses untuk pengguna,” ujarnya.
Sehubungan itu, Steven mencadangkan supaya mekanisme pelaksanaan program diperkemas dengan mengambil kira kategori kediaman seperti rumah flat, rumah teres atau rumah banglo agar manfaat rebat dapat disalurkan dengan lebih berkesan mengikut keperluan pengguna.
“Program ini sememangnya membantu. Saya mencadangkan agar pihak kerajaan mempertimbangkan sistem permohonan yang lebih fleksibel, contohnya mengikut jenis kediaman seperti flat, rumah teres atau rumah banglo,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, Steven berkata penambahbaikan secara berterusan terhadap sistem pelaksanaan dapat meningkatkan pengalaman pengguna, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai rakyat untuk menikmati manfaat penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga.
Difahamkan, pelaksanaan NUR@PETRA Domestik dijangka menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 552.25 gigawatt-jam (GWh), bersamaan penjimatan kos sebanyak RM250.72 juta dalam tempoh lima tahun.
Program itu juga diunjurkan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 408,655 tan karbon dioksida setara (CO2eq), tertakluk kepada jangka hayat serta tahap kecekapan pengoperasian peralatan terbabit.
Secara keseluruhannya, NUR@PETRA Domestik bukan sekadar menawarkan insentif pembelian, sebaliknya menjadi antara usaha kerajaan untuk membudayakan penggunaan tenaga secara lebih cekap dan mampan dalam kalangan rakyat.
Inisiatif itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat, menyokong pembangunan rendah karbon serta memastikan kemampanan sumber tenaga negara.
Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan, kaedah permohonan, mekanisme pelaksanaan serta senarai jenama dan model peralatan elektrik cekap tenaga yang ditawarkan di bawah NUR@PETRA 2026 boleh diperoleh menerusi laman sesawang rasmi SEDA Malaysia.






