Lionel Messi. Foto AFP
BINTANG Argentina, Lionel Messi menunjukkan perkembangan positif daripada kecederaan otot yang dialaminya dan dijangka kembali memperkuat pasukan dalam aksi pemanas badan terakhir menjelang kempen Piala Dunia 2026.
Perkara itu disahkan oleh pengendali Argentina, Lionel Scaloni sekali gus meredakan kebimbangan peminat mengenai tahap kecergasan pemain berusia 38 tahun itu.
Sebelum ini, Messi mengalami kecederaan otot ketika membantu kelabnya, Inter Miami mencatatkan kemenangan 6-4 ke atas Philadelphia Union dalam saingan Major League Soccer (MLS) baru-baru ini.
Juara bertahan dunia itu dijadualkan menentang Honduras di Texas pada Sabtu sebelum bertemu Iceland di Alabama pada Selasa bagi aksi persahabatan terakhir mereka.
“Leo (Messi) berada dalam keadaan baik. Beliau sudah mula menjalani latihan bersama kumpulan bagi sebahagian sesi latihan dan itu adalah satu petanda yang sangat positif. Beliau tidak lagi berlatih secara berasingan.
“Keadaannya semakin pulih dan mungkin boleh diturunkan untuk beberapa minit dalam salah satu perlawanan pemanas badan ini. Kita akan lihat sama ada perlawanan esok atau seterusnya, tetapi perkembangannya memberikan kami kelegaan,” katanya.
Kejohanan kali ini bakal menyaksikan penampilan keenam Messi di pentas Piala Dunia. Mengulas mengenai pemilihan pemain itu, Scaloni sempat berkongsi kisah mencuit hati ketika memaklumkan perkara berkenaan kepada kaptennya itu.
“Saya menghantar mesej kepadanya, dan beliau memberitahu akan menunggu senarai rasmi diumumkan terlebih dahulu untuk melihat jika namanya terpilih.
“Saya kemudian membalas, ‘Kamu sudah terpilih.’ Begitulah ia berlaku,” kongsi Scaloni sambil tersenyum.
Messi yang dianggap antara pemain terhebat sepanjang zaman, sebelum ini berjaya mengetuai skuad La Albiceleste menjulang trofi berprestij itu pada edisi 2022 di Qatar.
Saingan Piala Dunia 2026 yang dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai ini.
Argentina yang diundi dalam Kumpulan J akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan menentang Algeria pada 16 Jun sebelum berdepan Austria dan Jordan.






