Pasukan SIFC menggegar Keori Championship yang berlangsung di Kepulauan Riau baru-baru ini.
PASUKANSaujana Impian FC (SIFC) mencipta pencapaian membanggakan apabila muncul naib juara kategori bawah 17 tahun (B-17) pada Kepri Championship 2026 yang berlangsung di Kepulauan Riau, Indonesia, baru-baru ini.
Lebih manis, penyerang utama Muhammad Qarin Mohd Rizal mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan, sekali gus meraih Anugerah Kasut Emas.
Kejohanan yang berlangsung pada 30 dan 31 Mei itu menghimpunkan 89 pasukan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura membabitkan empat kategori iaitu B-10, B-12, B-14 dan B-17, menjadikannya antara platform pembangunan bola sepak remaja paling kompetitif di rantau ini.
Selaku naib juara, pasukan dari Kajang, Selangor itu membawa pulang trofi iringan, pingat perak dan sijil penghargaan, sekali gus mengukuhkan reputasi SIFC sebagai antara kelab akar umbi yang aktif melahirkan bakat muda berpotensi.
Selain skuad B-17, SIFC turut menyertai kategori B-12 dan B-14 dengan keseluruhan 38 pemain bersama empat pegawai yang dibawa ke kejohanan berkenaan bagi menimba pengalaman di peringkat antarabangsa.
Jurulatih skuad B-14 SIFC, Abu Hassan berkata, pendedahan di luar negara memberi nilai tambah besar kepada perkembangan pemain muda dari aspek keyakinan dan pemahaman taktikal.
“Pengalaman menentang pasukan dari negara berbeza memberi banyak manfaat kepada pemain terutama dari segi kematangan, disiplin dan pemahaman taktikal.
“Pencapaian ini diharap menjadi dorongan untuk mereka terus bekerja keras dan menetapkan sasaran lebih tinggi selepas ini,” katanya.






