Jangan tembak pesakit yang sedang dirawat – AFC

Jangan tembak pesakit yang sedang dirawat – AFC

Jangan tembak pesakit yang sedang dirawat – AFC


KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) meminta semua pihak agar memberikan ruang dan masa kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memperbaiki kelemahan tadbir urus mereka berbanding terus memberikan kritikan yang boleh menjejaskan proses pemulihan berkenaan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menggunakan analogi ‘pesakit’ bagi menggambarkan situasi semasa badan induk bola sepak negara itu yang kini sedang berusaha memperkemaskan semula struktur organisasi mereka.

Menurut beliau, FAM sendiri yang menunjukkan keterbukaan dengan meminta audit kualiti berkenaan dijalankan serta membentangkannya secara telus pada Kongres Luar Biasa FAM pada Khamis.

“Seperti yang saya katakan, jangan menembak pesakit (FAM). Pesakit sudah sakit, dia sedar dia sakit, dan dia meminta pertolongan, jadi kita bantu. Kita perlu memberikan sedikit masa untuk semua ‘perubatan’ ini berfungsi.

“Pesakit tidak kata dia tidak sakit, dia sedar dia sakit dan meminta pertolongan. Sebab itulah mereka meminta semua perkara ini dibuat. Malah, FAM sendiri yang meminta audit kualiti ini dibentangkan kepada perwakilan. Itu adalah satu perubahan yang besar,” katanya.

Mengulas lanjut, Windsor menjelaskan tindakan FAM membentangkan hasil audit secara terbuka kepada perwakilan membuktikan kesediaan badan induk itu untuk berubah ke arah yang lebih baik.

“Dulu kita tidak pernah mendengar perkara seumpama ini daripada FAM. Sekarang mereka sangat terbuka, jadi kita perlu bersama-sama dalam perkara ini. Kami di peringkat AFC juga cuba membantu mereka atas permintaan mereka sendiri,” katanya.

Bagi memastikan segala cadangan penambahbaikan dilaksanakan, Windsor memaklumkan pihak AFC dan Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan memantau rapat perkembangan FAM bagi tempoh dua tahun akan datang.

“Ini adalah perkara yang serius. Kakitangan AFC telah meluangkan banyak masa untuk perkara ini. Kami akan memantau dan memastikan ia berlaku kerana perkara ini sudah berada di bawah perhatian AFC dan FIFA.

“Setiap tiga bulan, tindakan susulan akan diambil untuk melihat perkembangan penambahbaikan tersebut. Kami akan bekerjasama rapat dengan mereka dalam tempoh dua tahun ini,” ujarnya.

Sebelum ini, laporan audit menyeluruh oleh AFC mendedahkan beberapa kelemahan ketara dalam aspek operasi dan tadbir urus FAM.

Menerusi pembentangan yang dilakukan oleh Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany, sebahagian besar aspek operasi FAM sekadar mencatatkan skor rendah di Tahap 2 (pra-pertengahan), sekali gus menuntut perubahan segera dilakukan.

Antara isu utama yang dikesan dalam laporan audit berkenaan adalah struktur tadbir urus organisasi yang didapati sekadar wujud di atas kertas tetapi tidak diluluskan atau dikuatkuasakan secara rasmi.

Selain itu, proses membuat keputusan dikesan tertumpu secara tidak rasmi kepada pihak atasan mengetepikan mandat serta garis pelaporan yang sepatutnya dipatuhi mengikut struktur organisasi.

Laporan tersebut turut mendedahkan beberapa fungsi kritikal organisasi terlalu bergantung kepada individu tertentu berbanding institusi, tiada jabatan yang menyediakan pelan perniagaan tahunan dan kalendar aktiviti, mahupun laporan prestasi secara berkala.



Source link

OR

Scroll to Top