Adam Adli mahu jadikan PRN Melaka ‘tapak baharu’ bina kekuatan gelombang merah


Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang sebagai “tapak baharu” untuk parti itu membina semula kekuatan politik, selain memperkenalkan pendekatan yang lebih matang dengan menampilkan idea serta dasar yang jelas kepada rakyat.

Memetik laporan BERNAMA, pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka Adam Adli Abd Halim berkata, kedudukan parti yang tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka ke-15 pada 2021 menjadi cabaran besar untuk PKR kembali mengukuhkan kedudukannya serta mendapatkan semula kepercayaan pengundi.

Menurut beliau, PKR perlu membuktikan keupayaannya untuk melahirkan wakil rakyat yang benar-benar mampu membawa suara masyarakat di DUN Melaka, walaupun parti itu perlu memulakan perjuangan pada PRN kali ini tanpa sebarang kerusi.

“Kita perlu membuktikan kepada masyarakat bahawa parti masih mampu diterima serta melahirkan wakil rakyat yang boleh menjadi suara rakyat di DUN Melaka. Kita akan memulakan perjuangan tanpa sebarang kerusi DUN.
“Cabaran itu memerlukan PKR menggunakan pendekatan berbeza berbanding pilihan raya terdahulu, termasuk meninggalkan politik berasaskan naungan atau patronage politics dan bergerak ke arah politik yang lebih matang,” katanya, baru-baru ini.

Pada PRN Melaka ke-15, Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN. Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memenangi dua kerusi.

Bagaimanapun, komposisi barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka turut merangkumi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PH, yang mencerminkan pelaksanaan konsep Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri sebagaimana yang diamalkan di peringkat Persekutuan.

 

Mengulas mengenai persediaan menghadapi PRN akan datang, Adam Adli yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR berkata, PH akan tampil dengan pendekatan rendah diri serta memberi penekanan kepada usaha mendekati masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Beliau berkata, gabungan itu mahu dilihat sebagai sebuah parti yang bukan sahaja dekat dengan rakyat, malah memahami isu serta keperluan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kelompok.

“Kita tidak mahu melabel masyarakat dengan pelbagai kecenderungan politik, sebaliknya menghormati kematangan pengundi dalam membuat pertimbangan berdasarkan tawaran yang dikemukakan,” jelasnya..

Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, parti perlu meningkatkan usaha memahami keperluan rakyat di setiap lapisan, khususnya dalam menangani isu yang memberi kesan secara langsung terhadap kehidupan mereka.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian serius, katanya, termasuk kos sara hidup, kebajikan belia, pendidikan, pemilikan rumah, kadar gaji serta kesihatan mental.

“Yang perlu kita lakukan ialah menawarkan idea, prinsip dan dasar yang mampu memberikan manfaat kepada rakyat. Pendekatan itu juga selari dengan gagasan “Keadilan Untuk Semua” yang mahu memastikan parti berperanan sebagai wadah kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira latar belakang,” tambahnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata, ukuran kejayaan sesebuah parti tidak seharusnya tertumpu kepada sejauh mana penguasaan politik yang dimiliki, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan keberkesanan idea dan dasar yang diperjuangkan dalam membawa manfaat kepada masyarakat.

Mandat Kerajaan Negeri Melaka akan berakhir pada 31 Dis ini.

Artikel lain: Adam Adli tegaskan PH bukan kerajaan kaut keuntungan, susun projek

Sementara itu, ketika menyentuh Kongres Nasional PKR 2026, Adam Adli berkata, persidangan berkenaan akan menjadi antara platform penting untuk parti memperkukuh kesiapsiagaan serta memperkemas gerak kerja menjelang pilihan raya akan datang.

Melaka dipilih sebagai tuan rumah Kongres Nasional PKR 2026 yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, dari 13 hingga 16 Ogos ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dijadual merasmikan kongres tersebut pada 15 Ogos ini.

Sumber: BERNAMA 





Source link

OR

Scroll to Top