Morristown, Amerika Syarikat: Bintang Brazil, Neymar dilaporkan semakin pulih daripada kecederaan betis yang menimbulkan keraguan mengenai kesediaannya untuk aksi awal kempen Piala Dunia Brazil, menurut kenyataan pasukan itu, awal pagi tadi.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil itu menjalani imbasan MRI semalam yang menunjukkan beliau sedang menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihan, sekali gus meningkatkan harapan mampu beraksi bersama skuad kendalian Carlo Ancelotti di Amerika Syarikat.
“Beliau terus menunjukkan perkembangan yang baik dalam rawatan dijalani. Neymar akan meneruskan jadual pemulihan dan program kecergasan seperti dirancang oleh pasukan perubatan Brazil,” menurut kenyataan Persekutuan Bolasepak Brazil.
Neymar mengalami kecederaan betis pada penghujung bulan lalu dan sejak itu berusaha keras untuk kembali cergas menjelang kejohanan tersebut. Brazil akan memulakan kempen mereka menentang Maghribi di Stadium MetLife, New Jersey, pada Sabtu.
Bagaimanapun, pemain berusia 34 tahun itu tidak menyertai rakan sepasukannya dalam sesi latihan semalam di pusat latihan baharu kelab MLS, New York Red Bulls, kira-kira 50 kilometer di barat Manhattan.
Sebaliknya, Neymar kekal berada di dalam bangunan untuk menjalani latihan pemulihan di gimnasium.
Bekas bintang FC Barcelona dan Paris Saint-Germain itu merupakan tonggak utama Brazil dalam tiga kempen Piala Dunia terdahulu. Namun, pemilihannya kali ini mencetuskan sedikit kejutan kerana kecederaan berulang menyebabkan beliau tidak beraksi untuk pasukan kebangsaan sejak 2023.
Bersama kelabnya, Santos FC, Neymar hanya tampil dalam kira-kira separuh daripada jumlah perlawanan liga, piala domestik dan Copa Sudamericana musim ini akibat beberapa masalah kecergasan.
Ancelotti minggu lalu menegaskan Neymar dijangka bersedia sama ada untuk perlawanan pertama atau kedua Brazil di Piala Dunia dan menambah bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk membawa pemain itu kembali beraksi sebelum benar-benar pulih.
© New Straits Times Press (M) Bhd





