Kuala Lumpur: Setiap hidupan liar yang diselamatkan daripada pemburu haram, sindiket penyeludupan atau kurungan tanpa kebenaran perlu melalui penilaian menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai masa depan haiwan berkenaan.
Pakar haiwan, Dr Arie Dwi Andika berkata, proses itu penting bagi memastikan haiwan yang diselamatkan ditempatkan dalam persekitaran paling sesuai demi kebajikan serta kelangsungan hidup jangka panjang.
Katanya, tidak semua haiwan yang diselamatkan boleh terus dilepaskan ke habitat asal kerana setiap kes memerlukan penilaian berdasarkan keadaan kesihatan, tingkah laku dan keupayaan haiwan berkenaan untuk hidup secara berdikari di habitat liar.
“Setiap haiwan yang diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan menjalani penilaian menyeluruh sebelum pihak berkuasa menentukan sama ada ia boleh dikembalikan ke habitat asal atau ditempatkan di zoo, pusat perlindungan hidupan liar atau pusat rehabilitasi.
“Proses penilaian ini merangkumi pemeriksaan fizikal, pemerhatian tingkah laku dan saringan veterinar bagi menentukan tahap kesihatan keseluruhan serta kesesuaian untuk dilepaskan semula ke habitat semula jadi,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Arie yang juga Pengerusi Persatuan Penguatkuasaan Undang-Undang, Penyiasatan dan Keselamatan Malaysia berkata, faktor seperti kecederaan, penyakit dan status pemakanan akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurutnya, haiwan yang sihat serta masih mengekalkan naluri semula jadi mempunyai peluang lebih tinggi untuk dilepaskan semula ke habitat liar.
Bagaimanapun, beliau berkata, haiwan yang terlalu lama berada dalam kurungan lazimnya menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri semula dengan kehidupan liar, terutama jika sudah bergantung kepada manusia untuk mendapatkan makanan dan perlindungan.
“Atas sebab itu, penilaian tingkah laku amat penting. Ahli zoologi perlu menentukan sama ada haiwan terbabit mampu mencari makanan sendiri, mengelak pemangsa serta berinteraksi secara semula jadi dengan spesiesnya.
“Kemahiran ini sangat penting untuk memastikan haiwan itu dapat terus hidup selepas dilepaskan ke habitat liar,” katanya.
Arie yang juga Presiden Persatuan Haiwan Malaysia berkata, haiwan yang didapati tidak sesuai untuk dilepaskan akan ditempatkan di zoo, pusat perlindungan atau fasiliti pemuliharaan.
Beliau berkata, di lokasi berkenaan haiwan terbabit akan terus menerima penjagaan sewajarnya selain menyumbang kepada aktiviti pendidikan, penyelidikan dan usaha konservasi.
Menurutnya, pihak berkuasa turut menyimpan rekod terperinci serta laporan penilaian bagi setiap hidupan liar yang diselamatkan termasuk haiwan yang dilepaskan semula ke habitat asal dan yang ditempatkan di pusat perlindungan.
“Dokumentasi ini penting bagi tujuan pemantauan jangka panjang terhadap kebajikan haiwan serta keberkesanan usaha pemuliharaan yang dijalankan.
“Matlamat utama adalah untuk mengutamakan kebajikan dan pemuliharaan haiwan. Setiap kes perlu dinilai berdasarkan bukti saintifik serta prospek kelangsungan hidup jangka panjang haiwan terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






