Adam Corrie fokus bekalan akhirat, bantu lebih 30 individu peluk Islam -“Anggap sebagai tanggungjawab..”

Adam Corrie fokus bekalan akhirat, bantu lebih 30 individu peluk Islam -“Anggap sebagai tanggungjawab..”


Pelakon Adam Corrie mengakui kini lebih menumpukan perhatian untuk mengumpul bekalan menuju akhirat seiring peningkatan usia yang semakin mencecah 60-an.

Adam, 58, berkata antara usaha yang dilakukan sejak lebih 10 tahun lalu adalah membantu lebih 30 saudara baharu memeluk Islam melalui pelbagai pendekatan dakwah dan bimbingan.

“Alhamdulillah selama 19 tahun saya masuk Islam, 30 lebih orang saya dah Islamkan. Itulah bekalan yang saya ada walaupun belum tentu saya punya.
“Bila orang kata usia sudah menghampiri ‘bau tanah’, saya lebih banyak memikirkan tentang mencari bekalan untuk akhirat sebab kita tidak tahu apa yang akan kita tinggalkan di dunia ini untuk anak dan isteri.
“Tetapi, walaupun rasa sudah ada bekalan, belum tentu menjadi milik kita kerana semuanya tetap bergantung kepada Allah,” katanya, semalam.

Menurut pelakon filem KL Gangster itu, tiada ruang untuk berbangga dengan usaha tersebut kerana hidayah adalah ketentuan Allah dan bukan datang daripada kehebatan diri sendiri.

Tegasnya, setiap usaha membantu individu mengucap syahadah tidak wajar dijadikan kebanggaan sebaliknya perlu disandarkan kepada rasa rendah diri dan kesyukuran.

“Apabila kita membantu seseorang memeluk Islam, kita tidak boleh terlalu berbangga atau menunjuk kepada orang lain.
“Kita tidak boleh rasa lebih baik daripada orang lain kerana perkara itu bukan datang daripada diri kita. Semuanya adalah ketentuan Allah,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Adam menyifatkan peranannya mendekati golongan mualaf sebagai satu amanah dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang perlu dilaksanakan dengan ikhlas.

“Allah yang menggerakkan hati mereka, Allah juga yang menggerakkan hati saya sehingga kami dipertemukan dan saya membantu mereka mengucapkan syahadah.
“Jadi, saya anggap itu sebagai tanggungjawab dan amanah sebagai seorang Muslim untuk membantu mereka memahami Islam,”ujar beliau.

Sebelum ini, Adam aktif dalam kerja-kerja dakwah menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskannya iaitu Pertubuhan Kembara Iman Malaysia.

Artikel lain: Adam Corrie kongsi kisah lalu cacah tatu sebelum peluk Islam – “Bukan sebab tekanan, tapi…”

Sekadar info, Adam memeluk Islam pada 13 Julai 2007 ketika berusia 39 tahun selepas mendapat petunjuk melalui mimpi susulan doanya untuk memperoleh pegangan hidup yang lebih baik.





Source link

OR

Scroll to Top