Kereta Proton Wira milik suspek kes tikam ditemukan di Batu Gajah

Kereta Proton Wira milik suspek kes tikam ditemukan di Batu Gajah


zahratulhayat@nst.com.my

Pasir Salak: Polis menemukan kereta Proton Wira sedan berwarna hitam bernombor pendaftaran WGX 3707 yang dilarikan seorang lelaki selepas dia disyaki menikam mati lelaki berusia 29 tahun, di sini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, kereta berkenaan ditemukan di Batu Gajah pagi ini, bagaimanapun usaha memburu suspek masih dijalankan.

“Kenderaan yang dilarikan itu ditemukan di Batu Gajah di tepi jalan. Usaha mengesan lelaki berkenaan sedang dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor.

Semalam, polis melancarkan operasi memburu seorang lelaki yang dipercayai menikam mati seorang lelaki berusia 29 tahun dalam satu pergaduhan.

Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5.49 pagi.

Hafezul berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat ditikam dalam pertengkaran dengan seorang lelaki berusia 30 tahun.

“Mangsa dikejarkan ke klinik berhampiran tetapi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Siasatan polis mendapati suspek melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira sedan berwarna hitam bernombor pendaftaran WGX 3707,” katanya.

Difahamkan, perasaan cemburu dipercayai menjadi motif di sebalik kejadian tikam sehingga mati itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan S. Murugan di talian 012-6992784 atau Inspektor Muhammad Aminuddin Haiqal Mohamed Masnani di talian 019-6751267

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top