NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila merangkul pingat emas acara pecut individu elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, sebentar tadi.
Pelumba berusia 38 tahun yang mewakili Team Azizul itu menampilkan kayuhan mantap untuk menewaskan wakil Johor, Mohd Akmal Nazimi Jusena 2-0 dalam aksi final sekali gus menebus kekecewaan selepas sekadar meraih pingat perak acara keirin semalam.
Lebih manis, kemenangan tersebut hadir sehari selepas Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyaksikan perlumbaan dan menitipkan doa agar beliau terus beraksi sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Bagaimanapun, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan “The Pocket Rocketman” enggan terburu-buru membuat sebarang janji mengenai penyertaannya di temasya Olimpik tersebut.
Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah mempersiapkan diri menghadapi dua kejohanan besar tahun depan iaitu Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya.
“Saya ambil pendekatan selangkah demi selangkah. Kita boleh merancang, tetapi Allah sebaik-baik perancang. Saya tidak mahu memberi janji yang terlalu awal.
“Kita lihat dahulu perkembangan dan prestasi semasa sebelum membuat keputusan lebih besar,” katanya.
Sementara itu, pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut mencuri tumpuan apabila muncul juara acara pecut individu elit wanita sekaligus mempertahankan pingat yang pernah dimenanginya pada edisi lalu.
Kejayaan kedua-dua pelumba utama negara itu memberi petanda positif terhadap kekuatan skuad berbasikal trek kebangsaan menjelang kempen antarabangsa tahun depan.
Dalam perebutan pingat gangsa elit lelaki, wakil Johor, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menewaskan pelumba Selangor, Muhammad Fadhil Mohd Zonis 2-0.
Pada masa sama, Azizulhasni berharap pencapaian konsisten Malaysia di pentas dunia dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan berbasikal yang lebih menyeluruh termasuk melahirkan lebih ramai pelumba pelapis berkualiti.
“Prestasi kita sudah berada pada tahap dunia, tetapi pembangunan bakat perlu terus diperkukuhkan supaya sukan ini mampu berkembang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN






