LUMUT: Muhammad Rabani Hashim akhirnya berjaya menamatkan penantian untuk muncul juara acara utama 113 Triathlon pada Festival Multisukan Perak 2026 selepas menjuarai perlumbaan yang berlangsung di Marina Island Pangkor, semalam.
Kejayaan itu menyaksikan Rabani memperbaiki pencapaiannya tahun lalu apabila dia menamatkan saingan di tempat kedua sebelum berjaya menawan gelaran pada edisi kali ini.
Peserta tetap perlumbaan IRONMAN itu mencatat masa 5 jam 8 minit 43 saat untuk menjuarai kategori lelaki keseluruhan, mengatasi Abdullah Umar Idrus yang meraih tempat kedua dengan catatan 5:10:40, manakala atlet Great Britain, Joseh Taylor, ketiga menerusi masa 5:22:16.
Rabani mengharungi cabaran mencabar meliputi renangan sejauh dua kilometer (km), kayuhan basikal 90km dan larian 21km untuk muncul juara.
Bagi kategori wanita, Wong Ee Va mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu selepas mencatat masa 5:25:48 untuk muncul juara buat kali kedua berturut-turut.
Dia menewaskan wakil Rusia, Elizaveta Prokhorova (6:22:05) di tempat kedua dan Harum Delima Mohd Noor (6:22:31) yang melengkapkan podium.
Sementara itu, gelaran kategori Jarak Olimpik lelaki menjadi milik Shahrom Abdullah yang mencatat masa 2:27:25, manakala Jacqueline Ng Siew Fong menjuarai kategori wanita dengan catatan 3:03:58.
Abdul Rahman Abu Hassan muncul naib juara kategori lelaki dengan masa 2:29:52 diikuti Firdaus Mohamad Jobri (2:30:46), manakala Hannah Tan Li Ann (3:04:35) dan Wong Shu Hui (3:07:03) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga kategori wanita.
Festival Multisukan Perak 2026 menarik penyertaan kira-kira 1,000 peserta dari 22 negara yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara triatlon, duatlon dan akuatlon selama dua hari pertandingan.
Pengarah perlumbaan, Toto Ong, berkata sambutan berterusan daripada peserta, rakan strategik dan pihak berkepentingan membolehkan festival itu terus berkembang saban tahun.
“Kami gembira dapat mengalu-alukan kehadiran atlet dari pelbagai negara dan latar belakang ke Marina Island Pangkor sekali lagi.
“Pengenalan Akuatlon Perak tahun ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan festival ini ketika kami terus mencari pendekatan baharu untuk menarik komuniti sukan ketahanan sambil menawarkan pengalaman segar kepada peserta,” katanya.-UTUSAN






