UEFA ugut boikot Piala Dunia jika FIFA teruskan pelan pelabur swasta

UEFA ugut boikot Piala Dunia jika FIFA teruskan pelan pelabur swasta


Paris: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengancam akan memboikot semua kejohanan anjuran FIFA termasuk Piala Dunia sekiranya badan induk bola sepak dunia itu meneruskan cadangan membenarkan pelabur swasta memiliki pegangan dalam syarikat komersial baharunya.

Dalam kenyataan tegas hari ini, UEFA menegaskan tiada pasukan kebangsaan di bawah naungannya akan menyertai mana-mana kejohanan FIFA selagi cadangan itu tidak dibatalkan sepenuhnya, selain FIFA perlu memberi jaminan bahawa model sama tidak akan diperkenalkan pada masa depan.

“Piala Dunia tidak boleh dianggap sebagai produk pelaburan. Tiada mana-mana bahagiannya wajar diserahkan kepada pelabur swasta. Piala Dunia bukan untuk dijual,” kata UEFA.

Selasa lalu, FIFA mengumumkan cadangan menubuhkan anak syarikat komersial dikenali sebagai FIFA Forward Enterprise (FFE) bagi menguruskan kejohanan utama seperti Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab.

Menerusi pelan itu, pelabur swasta dibenarkan memiliki pegangan minoriti dalam syarikat berkenaan, dengan FIFA menyasarkan kutipan sehingga AS$4.2 bilion (kira-kira RM19.4 bilion) berdasarkan penilaian syarikat bernilai AS$20 bilion (RM92.4 bilion).

Jika diluluskan, setiap daripada 211 ahli gabungan FIFA akan menerima bayaran sekali sebanyak AS$20 juta (RM92.4 juta) pada awal 2027, selain peruntukan pembangunan bagi kitaran 2027 hingga 2030 meningkat daripada AS$8 juta kepada AS$20 juta.

Presiden FIFA, Gianni Infantino sebelum ini menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai “peluang keemasan” untuk mempercepatkan pembangunan bola sepak di seluruh dunia.

Namun, UEFA yang diketuai Aleksander Ceferin menegaskan model itu tidak mempunyai tempat dalam bola sepak antarabangsa.

“Bola sepak tidak boleh ditentukan oleh pihak yang tugas utamanya adalah memaksimumkan keuntungan. Kepentingan persatuan kebangsaan, liga, kelab, pemain dan penyokong tidak boleh dikorbankan demi pulangan pelabur.

“Bola sepak tidak boleh menggadaikan masa depannya semata-mata untuk keuntungan kewangan,” kata badan itu.

Menurut UEFA, Eropah tidak akan sekali-kali memberikan legitimasi kepada model pemilikan swasta terhadap kejohanan bola sepak.

Cadangan FIFA itu turut menerima bantahan beberapa persatuan bola sepak Eropah serta pegawai Kesatuan Eropah (EU) yang menyuarakan kebimbangan mengenai komersialisasi sukan dan kemungkinan berlaku konflik kepentingan.

Malah, Konfederasi Bolasepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) serta Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) turut melahirkan kebimbangan kerana cadangan itu diumumkan sebelum semua 211 ahli gabungan FIFA dirunding secara menyeluruh.

Sementara itu, Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) meminta semua ahlinya meneliti secara mendalam cadangan kontroversi berkenaan.

UEFA turut menyifatkan proses memperkenalkan cadangan itu sebagai satu kegagalan kepimpinan yang serius kerana dibangunkan secara rahsia tanpa rundingan bermakna dengan pihak berkepentingan dalam bola sepak.

“Bola sepak mempunyai nilai yang tidak boleh dijual beli. Piala Dunia adalah milik bola sepak dan akan kekal begitu. Selagi Eropah mempunyai suara, ia tidak akan sesekali dijual,” tegas UEFA.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top