Emas Melanie Woods ditarik, final 1,500m diulang semula

Emas Melanie Woods ditarik, final 1,500m diulang semula


Glasgow: Atlet para Scotland, Melanie Woods kehilangan status juara Sukan Komanwel 2026 selepas keputusan final acara wanita 1,500 meter T54 dibatalkan dan perlumbaan itu diarahkan berlangsung semula esok susulan beberapa siri bantahan.

Woods sebelum ini mencipta rekod baharu temasya apabila muncul pemenang di hadapan penyokong sendiri pada Rabu, manakala atlet England, Ellis Kottas meraih perak.

Bagaimanapun, perlumbaan itu dicemari kemalangan pada pusingan pertama yang mencetuskan kontroversi.

Atlet Kanada, Nandini Sharma pada asalnya menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Woods, namun dibatalkan penyertaan kerana didakwa menjadi punca insiden berkenaan, sekali gus menyaksikan Kottas dinaikkan ke kedudukan kedua.

Rayuan Kanada terhadap keputusan itu gagal, namun selepas bantahan lanjut dikemukakan Australia dan Mauritius, badan pentadbir olahraga para memutuskan perlumbaan berkenaan perlu diadakan semula hari ini.

Keputusan itu bermakna kemenangan Woods dan kedudukan Kottas serta atlet Australia, Mikaela Dingley, terbatal, walaupun tiada pingat sempat disampaikan kerana majlis penyampaian dijadualkan berlangsung sehari selepas perlumbaan.

Menerusi hantaran di Instagram, Woods mengakui kecewa dengan keputusan itu, namun bersedia untuk kembali beraksi.

“Jadi, saya bukan lagi juara Sukan Komanwel. Esok pagi kami akan berlumba semula. Ikuti perkembangan seterusnya kerana drama ini masih belum berakhir,” katanya.

Pasukan Scotland memaklumkan mereka menghormati keputusan itu dan mengesahkan Woods serta rakan sepasukan, Joanna Robertson akan menyertai perlumbaan ulangan.

Kottas pula mengakui situasi itu memberi kesan kepadanya, manakala Ketua Misi England, Jonny Riall menyifatkan keputusan berkenaan amat mengecewakan.

“Kami tidak mempunyai saluran bantahan rasmi, namun kami sudah menyuarakan bantahan keras terhadap keputusan ini.

“Pegawai perlumbaan tidak menghentikan perlumbaan ketika insiden berlaku dan tiada keputusan segera dibuat untuk membatalkan perlumbaan atau mengarahkan ia diulang.

“Justeru, Ellis dan pasukan menganggap semua prosedur pertandingan sudah selesai dan keputusan rasmi sudah disahkan,” katanya.

Untuk rekod, Woods yang menggunakan kerusi roda selepas terbabit dalam kemalangan ketika berbasikal pada 2018, turut dijadual beraksi dalam acara 400m pada sesi pagi hari yang sama, dengan saringan bermula kira-kira 90 minit selepas final 1,500m yang diulang semula.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top