IOIPG labur RM500 juta bangunkan The Westin Puchong

IOIPG labur RM500 juta bangunkan The Westin Puchong


PUCHONG: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) dan Marriott International memeterai perjanjian operasi dan pengurusan hotel bagi memperkenalkan The Westin Puchong di IOI Rio City, membabitkan pelaburan hampir RM500 juta dan dijangka mula beroperasi pada akhir Jun 2030.

Projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan baki kawasan seluas 40.46 hektar di Bandar Puteri Puchong, yang turut merangkumi IOI Mall Rio, sebuah pusat beli-belah baharu dengan nilai pelaburan melebihi RM1 bilion.

Ketua Pegawai Operasi, Pelaburan Hartanah IOIPG, Chris Chong berkata, pembangunan itu menandakan satu lagi pencapaian penting bagi komuniti Bandar Puteri Puchong dan kawasan Puchong secara keseluruhannya.

“The Westin Puchong akan menjadi hotel bertaraf lima bintang berjenama antarabangsa yang pertama di Puchong.

“Hotel baharu ini akan melengkapkan operasi sedia ada Four Points by Sheraton Puchong, sekali gus memperluaskan kemudahan penginapan, infrastruktur perniagaan serta kapasiti penganjuran acara di kawasan itu.

“Ketika ini portfolio Hospitaliti dan Riadah IOIPG merangkumi sembilan hotel dengan keseluruhan 3,075 bilik,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian itu di sini semalam.

Beliau berkata, dengan penambahan The Westin Puchong yang mempunyai 324 bilik serta W Singapore, Marina View yang menawarkan 360 bilik, selain beberapa projek lain yang sedang dirancang, kapasiti bilik hotel kumpulan itu akan bertambah sebanyak 907 bilik menjelang 2030.

Menurutnya, menjelang tempoh itu, portfolio hotel IOI Properties dijangka mempunyai 3,982 bilik merentasi Malaysia, Singapura dan Republik Rakyat China.

“Pengembangan berterusan ini mengukuhkan strategi kumpulan untuk meningkatkan portfolio aset yang menjana pendapatan berulang.

“Apabila siap kelak, The Westin Puchong dijangka menyumbang kepada pembangunan komersial tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh portfolio Hospitaliti dan Riadah IOIPG.

“Hotel lima bintang ini disasarkan menjadi pemangkin kepada peningkatan gaya hidup bandar serta memenuhi keperluan industri hospitaliti dan pelancongan, termasuk pelancong perniagaan dan pelancong antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Hotel Asia Pasifik (tidak termasuk China), Marriott International, Andree Susilo berkata, perjanjian itu mengukuhkan hubungan jangka panjang antara Marriott International dan IOI Properties serta mencerminkan keyakinan berterusan terhadap pasaran hospitaliti Malaysia.

“Kami berbangga memperkenalkan The Westin Puchong yang membawa falsafah kesejahteraan bertaraf global ke salah satu koridor komersial paling pesat berkembang di negara ini.

“Bersama IOI Properties, kami berharap dapat membangunkan destinasi yang menyokong fasa pertumbuhan seterusnya bandar ini sambil menawarkan pengalaman bermakna kepada pelancong perniagaan dan percutian,” katanya.

Dari segi operasi, hotel berkenaan dijangka mewujudkan 220 peluang pekerjaan, manakala penambahan 324 bilik akan meningkatkan inventori hotel masa depan IOIPG dalam bahagian Hospitaliti dan Riadah bagi menyokong strategi pendapatan berulang jangka panjang.

Sebagai fasa pembangunan terakhir Bandar Puteri Puchong yang berusia 27 tahun, IOI Rio City seluas 40.46 hektar direka untuk mentransformasikan kawasan itu daripada pusat keusahawanan tempatan kepada hab perniagaan bertaraf antarabangsa.

Pelan induk yang dibangunkan dalam tempoh 12 tahun itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM12 bilion dengan IOI Mall Rio menjadi pemacu ekonomi utama, manakala The Westin Puchong berfungsi sebagai pemangkin utama sektor hospitaliti dan riadah. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top