Pengalaman getir berdepan ancaman keganasan

Pengalaman getir berdepan ancaman keganasan


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lebih dua dekad berkhidmat bersama Unit Tindakhas (UTK) menyaksikan pelbagai pengalaman getir dilalui Senior Asisten Komisioner (SAC) Hisham Mahmood termasuk berdepan ancaman keganasan, kumpulan bersenjata dan operasi menyelamat berisiko tinggi.

Beliau yang kini menjawat Komander UTK Bukit Aman berkata, setiap operasi dilalui memerlukan persediaan rapi, maklumat tepat serta perancangan teliti bagi memastikan keselamatan anggota dan kejayaan misi.

“Semua operasi kami hadapi membabitkan senjata api, tebusan, rompakan bank dan semua yang kami hadapi memerlukan satu persiapan serta maklumat penuh berkaitan kekuatan musuh.

“Kami perlu tahu kelemahan musuh dan mengambil peluang itu untuk memastikan tindakan yang sewajarnya dapat dilaksanakan,” katanya secara eksklusif kepada Harian Metro.

Hisham berkata, antara pengalaman yang tidak pernah dilupakan adalah ketika mengetuai operasi menyelamat anggota pasukan keselamatan yang terperangkap di Kampung Air Simunul, Semporna, Sabah ketika Ops Daulat pada 2013 susulan pencerobohan militan Sulu.

Menurut beliau, pasukannya ketika itu menjangkakan kemungkinan berlaku pertempuran ketika melaksanakan misi menyelamat berikutan tindakan agresif penceroboh sebelum itu.

“Kami menjangkakan satu pertempuran yang hebat akan berlaku, namun Alhamdulillah tiada pertempuran berlaku kerana penceroboh melarikan diri dan proses menyelamat berjaya dilaksanakan,” katanya.

Selain Ops Daulat, beliau turut melalui pelbagai operasi berisiko tinggi sepanjang berkhidmat dalam UTK termasuk operasi membabitkan jenayah bersenjata dan ancaman keselamatan negara.

Menurutnya, setiap tugasan yang dipikul anggota pasukan khas memerlukan kekuatan mental, disiplin tinggi serta kepercayaan antara satu sama lain.

Hisham menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 November 1998 sebelum menyertai pemilihan UTK pada 2000 dan berjaya menamatkan Kursus Asas UTK di Ulu Kinta, Perak.

Beliau berkata, minat menyertai UTK tercetus hasil inspirasi daripada abang kandungnya yang terlebih dahulu berkhidmat dalam unit berkenaan.

“Daripada perbualan bersama abang saya berkaitan tugas yang dijalankan UTK, saya memang betul-betul berminat untuk menyertai dan menanam hasrat untuk mengikut jejak abang saya,” katanya.

Atas keberanian dan khidmat bakti sepanjang menjalankan tugas, Hisham dianugerahkan Pingat Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 17 Ogos 2012.

Katanya, beliau tidak pernah menyangka akan menerima pengiktirafan berkenaan selepas dimaklumkan pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengenai penganugerahan itu.

“Perasaan saya gembira dan ini merupakan satu anugerah yang besar bagi saya. Tidak pernah terfikir untuk menerima anugerah ini,” katanya.

Menurutnya, sebagai penerajui UTK, semangat berkhidmat dan kesanggupan memikul amanah menjadi nilai penting yang perlu ada dalam diri setiap individu, terutama mereka yang memilih kerjaya dalam bidang keselamatan.

“Saya nasihatkan semua pemuda dan pemudi berminat menyertai PDRM supaya bersedia dari segi mental dan fizikal kerana kerjaya ini memerlukan semangat, disiplin serta komitmen yang tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top