PETALING JAYA: Genting Property Sdn. Bhd. melancarkan Bandar Pintar Teknologi Johor (Johor Tech Smart City) yang terletak di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) seluas 930.77 hektar.
Bandar pintar itu menggabungkan pertanian moden, teknologi canggih dan infrastruktur maju bagi menetapkan penanda aras global baharu untuk sistem makanan masa depan serta bandar pintar generasi baharu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembangunan itu mencerminkan usaha berterusan Johor untuk memperkukuh ekosistem ekonomi yang kempetitif, berasaskan inovasi dan mampan.
“Melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, pemain industri dan agensi berkaitan, Johor terus memudahcara pelaburan berkualiti, membangunkan bakat mahir serta memperbanyak peluang ekonomi untuk rakyat.
“Bandar Pintar Teknologi Johor membuktikan potensi besar yang dapat dicapai menerusi kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta, serta perkongsian komitmen jangka panjang terhadap pembangunan mampan negeri ini.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Genting Property, ACGT Sdn. Bhd. (ACGT), rakan strategik, pelabur serta semua pihak berkepentingan atas keyakinan dan komitmen mereka yang telah membantu merealisasikan Bandar Pintar Teknologi Johor,” katanya dalam kenyataan.
Pembangunan tersebut memanfaatkan kepakaran perancangan induk Genting Property, kecekapan teknologi pertanian (AgTech) ACGT Sdn Bhd (ACGT), serta keupayaan rakan teknologi utama.
Bandar Pintar Teknologi Johor menampilkan Kampus AgTech seluas 202.34 hektar yang dikususkan untuk pertanian pintar bagi meningkatkan sekuriti makanan melalui komponen-komponen terasnya, SEEDS.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Genting Plantations Berhad, Datuk Indera Lim Keong Hui berkata, Bandar Pintar Teknologi Johor mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan untuk melabur dalam pembangunan transformatif yang mencipta nilai yang mampan untuk negeri dan negara.
“Kami amat menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Johor untuk bersama-sama merealisasikan visi ini.
“Kami yakin projek strategik ini akan memberi sumbangan bermakna kepada pertumbuhan ekonomi, ekosistem inovasi dan kesiapsiagaan masa depan negeri Johor.
“Ia juga dengan menggabungkan kepakaran Genting Property dalam pembangunan bandar berskala besar, inovasi AgTech ACGT serta rangkaian kerjasama global yang kukuh,” ujarnya. – UTUSAN






