SEREMBAN: Perdana Menteri menegaskan beliau tidak mencampuri urusan adat dan sistem pemerintahan beraja di Negeri Sembilan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim uga berkata, beliau menghormati segala proses yang ditetapkan mengikut perlembagaan serta amalan adat di negeri itu.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga akan terus mematuhi keputusan yang dibuat mengikut saluran undang-undang tanpa sebarang campur tangan politik.
“Saya tidak campur dalam urusan negeri. Tetapi kita harus tadbir negara. Ini bukan darurat, kalau darurat kerajaan Persekutuan akan ambil alih jika ada pertelingkahan dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang, ini yang mereka kata.
“Saya ada hubungi Undang dan ada kita bincang. Saya tidak pertikai Adat Perpatih, Undang atau Luak. Itu semua tertakluk kepada Perlembagaan negara dan peraturan yang ada. Apa-apa perubahan dibuat mengikut undang-undang dan proses yang teratur, kita akur, patuh dan taat kepada sistem yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) di Karisma Arena di sini, malam tadi.
Sebelum ini, Anwar menegaskan kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata, institusi raja tidak seharusnya dijadikan bahan pertikaian politik kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan kestabilan negara dan keharmonian masyarakat.
“Kita kata sokong sistem raja tetapi pada masa sama saya tidak bersetuju dengan tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai usaha menggugat institusi itu.
“Apa-apa perubahan mesti mengikut peraturan Perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada. Bayangkan apa akan terjadi kepada negara jika institusi raja turut dijadikan bahan pertikaian politik,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan tindakan pihak yang didakwa cuba menggugat kestabilan kerajaan Negeri Sembilan ketika negeri ini sedang dalam pertumbuhan pelaburan dan pembangunan pesat.
Tegasnya, tindakan tersebut jelas tidak memberi manfaat kepada rakyat, sebaliknya hanya mewujudkan ketidakstabilan politik.
“Apa sebenarnya masalahnya? Apa dasar yang tidak kena? Kalau ada kelemahan, beritahu dan kita boleh perbaiki.
“Kita sepatutnya bercakap tentang masa depan pekerja, petani, nelayan, penjaja dan peniaga kecil. Tetapi yang berlaku ialah percaturan politik yang akhirnya memaksa pilihan raya diadakan.
“Rakyat ini jangan dijadikan percaturan. Kamu nak rebut apa? Kita kan sudah pakat nak jadikan Tok Min (Aminuddin) sebagai Menteri Besar daripada semua parti,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menyifatkan tindakan segelintir pihak yang mendakwa menyokong kerajaan perpaduan tetapi pada masa sama berusaha ingin menjatuhkan sebagai sesuatu yang mengelirukan rakyat.
“Bila ditanya, kata masih sokong kerajaan. Tetapi selepas itu bertindak sebaliknya. Sebab itu pilihan raya terpaksa diadakan supaya rakyat membuat pilihan yang jelas,” katanya.
Selain itu, beliau turut menyatakan sokongan penuh agar Datuk Seri Aminuddin Harun terus memimpin Negeri Sembilan sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan itu kembali diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.-UTUSAN.






