Scotland tamat kemarau kemenangan Piala Dunia sejak 1990

Scotland tamat kemarau kemenangan Piala Dunia sejak 1990


Penyokong Scotland yang dikenali sebagai Tartan Army meraikan kemenangan pertama negara mereka di Piala Dunia sejak 1990. Foto Agensi

SCOTLAND akhirnya menamatkan penantian panjang di pentas Piala Dunia apabila mencatat kemenangan sulung sejak 1990 selepas menewaskan Haiti 1-0 dalam aksi Kumpulan C 2026 pada Ahad.

Jaringan tunggal John McGinn pada babak pertama sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat anak buah Steve Clarke, dalam perlawanan yang lebih banyak memerlukan ketahanan berbanding permainan cantik.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan Scotland di tangga teratas kumpulan selepas satu lagi perlawanan kumpulan membabitkan Maghribi dan Brazil berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Walaupun turun sebagai pilihan, Scotland tidak berdepan laluan mudah apabila Haiti beberapa kali menguji benteng pertahanan mereka, terutama di penghujung permainan ketika tekanan semakin meningkat.

Namun pengalaman dan disiplin bertahan Scotland nyata menjadi kunci untuk mereka bertahan sehingga wisel penamat, sekali gus mengesahkan kemenangan penting dalam misi memburu tempat ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka.

Pengendali Scotland, Steve Clarke memuji semangat dan ketahanan anak buahnya yang berjaya mengharungi perlawanan ‘wajib menang’ itu.

“Apabila anda mendahului 1-0, anda perlu tahu bagaimana untuk mengurus permainan. Kami melakukannya dengan baik,” katanya.

Clarke turut mengakui kemenangan itu sedikit meredakan tekanan menjelang dua perlawanan getir menentang pasukan ranking 10 terbaik dunia, Maghribi dan Brazil.

“Kami akan berdepan cabaran besar tetapi mungkin dengan sedikit kurang tekanan selepas kemenangan ini.

“Jika kami terus bertahan seperti hari ini dan memperbaiki permainan di posisi bola, kami boleh bersaing,” katanya.

Scotland kini mengalihkan tumpuan kepada pertemuan menentang Maghribi pada Sabtu ini (6 pagi waktu Malaysia) sebelum aksi menentang Brazil di Miami pada 25 Jun.



Source link

OR

Scroll to Top