Penyerang veteran, Son Heung-min dijangka diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Republik Czech. – Foto: Agensi
KOREA Selatan berdepan misi penting untuk menamatkan badi perlawanan pembukaan apabila memulakan kempen Piala Dunia 2026 menentang Republik Czech dalam aksi Kumpulan A di Stadium Guadalajara, hari ini.
Skuad kendalian Hong Myung-bo itu mempunyai alasan kukuh untuk memburu tiga mata kerana rekod menunjukkan mereka gagal mencatat kemenangan dalam aksi pertama pada tiga edisi Piala Dunia terakhir.
Pada 2014, Korea Selatan tersingkir di peringkat kumpulan selepas sekadar mengumpul satu mata, manakala kekalahan dalam dua perlawanan awal pada 2018 menyebabkan kemenangan mengejut ke atas juara bertahan, Jerman tidak cukup untuk membawa mereka ke pusingan seterusnya.
Walaupun berjaya mara ke pusingan 16 pada Piala Dunia 2022 di Qatar, Korea Selatan tetap bergelut pada dua perlawanan awal sebelum memastikan kemaraan menerusi kemenangan dramatik ke atas Portugal pada aksi terakhir kumpulan.
Sejarah juga menunjukkan setiap kali Korea Selatan memulakan kempen dengan kemenangan, peluang mereka untuk melangkah lebih jauh lebih cerah seperti ketika mara ke separuh akhir pada 2002 dan pusingan 16 pada 2010.
Korea Selatan yang menghuni ranking ke-25 dunia dilihat memiliki kelebihan berbanding Republik Czech di tangga ke-41, namun dijangka berdepan tentangan sengit daripada lawan yang terkenal dengan corak permainan fizikal dan kekuatan bola tinggi.
Format baharu Piala Dunia yang menampilkan 48 pasukan sememangnya memberi lebih ruang untuk pasukan bangkit selepas keputusan buruk, namun kemenangan awal tetap dianggap penting bagi mengurangkan tekanan serta mengukuhkan peluang menamatkan saingan di dua tangga teratas kumpulan.
Turut berada dalam Kumpulan A ialah Mexico selaku tuan rumah dan Afrika Selatan, menjadikan setiap mata amat berharga dalam perebutan slot ke pusingan 32.
Justeru, aksi menentang Republik Czech bukan sekadar pembuka tirai buat Korea Selatan, tetapi juga peluang terbaik untuk memadam rekod hambar mereka dalam perlawanan pertama Piala Dunia.






