Penampilan sulung Piala Dunia Sithole bertukar mimpi ngeri

Penampilan sulung Piala Dunia Sithole bertukar mimpi ngeri


IMPIAN pemain tengah Afrika Selatan, Sphephelo Sithole untuk menikmati penampilan sulung di pentas Piala Dunia bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kesilapannya memberi kesan besar terhadap kekalahan 0-2 pasukannya kepada Mexico dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2026 di Estadio Azteca, awal pagi Jumaat.

Pemain berusia 26 tahun itu menjadi tumpuan negatif perlawanan selepas terlibat secara langsung dalam jaringan pembukaan Mexico sebelum dilayangkan kad merah pada awal babak kedua, sekali gus menyukarkan lagi usaha Afrika Selatan untuk bangkit.

Dalam penampilannya yang ke-27 bersama skuad kebangsaan, Sithole diharapkan menjadi tonggak penting di bahagian tengah pasukan kendalian Hugo Broos.

Namun, tekanan beraksi di pentas terbesar bola sepak dunia jelas memberi kesan apabila beberapa kesilapan dilakukan pada saat-saat penting perlawanan.

Detik malang pertama berlaku pada minit kesembilan apabila beliau kehilangan penguasaan bola berhampiran kawasan penalti sendiri selepas diasak pemain tengah Mexico, Erik Lira.

Situasi itu membuka ruang kepada Julián Quiñones melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Ronwen Williams untuk gol pertama Piala Dunia 2026.

Keadaan menjadi lebih sukar buat Sithole pada awal separuh masa kedua apabila beliau dilayangkan kad merah secara langsung selepas menjatuhkan Brian Gutierrez yang sedang mara ke arah gol.

Dalam situasi satu lawan satu itu, Sithole bertindak mengasari penyerang Mexico berkenaan kerana merupakan pemain terakhir yang berada di benteng pertahanan Afrika Selatan.

Keputusan pengadil mengeluarkan kad merah tidak menimbulkan banyak pertikaian kerana tindakan itu menafikan peluang jaringan yang jelas kepada lawan.

Berdasarkan statistik Opta, Sithole menjadi pemain ketiga dalam sejarah Piala Dunia yang melakukan kesilapan yang membawa kepada jaringan lawan dan pada masa sama dibuang padang dalam perlawanan yang sama.

Sebelum ini, rekod sama dicatat oleh pemain pertahanan Republik Czech, Tomas Ujfalusi ketika menentang Ghana pada Piala Dunia 2006 serta pertahanan Ivory Coast, Cyrille Domoraud dalam aksi menentang Serbia pada kejohanan yang sama.

Kehilangan seorang pemain sejak awal babak kedua menyaksikan Afrika Selatan berdepan tugas hampir mustahil untuk kembali memberi saingan.

Mexico memanfaatkan kelebihan jumlah pemain sebelum menggandakan jaringan menerusi Raúl Jiménez pada minit ke-67 bagi mengesahkan kemenangan 2-0.

Kekalahan itu bukan sahaja meletakkan Afrika Selatan dalam kedudukan sukar dalam Kumpulan A, malah prestasi Sithole dijangka terus menjadi bahan perdebatan selepas perlawanan, terutama kerana dua insiden membabitkannya memberi impak langsung terhadap keputusan akhir.

Bagi pemain Tondela itu, malam yang sepatutnya menjadi detik bersejarah dalam kariernya bertukar menjadi pengalaman pahit yang sukar dilupakan, sekali gus meletakkannya sebagai antara watak paling malang pada hari pembukaan Piala Dunia 2026.



Source link

OR

Scroll to Top