am@hmetro.com.my
Seremban: Pakatan Harapan (PH) perlu mengenal pasti kelemahan dalaman dan bukan mendakwa PAS menggunakan DAP sebagai modal kempen untuk meraih sokongan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata, dakwaan itu tidak benar kerana dikenal pasti berpunca daripada kelemahan PH sendiri.
“Apa yang berlaku ialah ‘self-destruction‘ (kemusnahan diri). Mereka yang beri masalah kepada diri mereka sendiri, jadi kenapa dilabelkan kita meratib pula?
“Masalah itu ditimbulkan mereka. Mereka kena buat cerminan sendiri,” katanya kepada media selepas Program Nogori Beradat, Kito Sepakat di Pusat Penerangan dan Komunikasi Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, di Lavender Heights Senawang, petang tadi.
Ahmad Samsuri menegaskan, bahawa persefahaman terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan PN tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman.
Beliau menyifatkan dakwaan PH itu hanya propaganda untuk mempengaruhi pengundi.
“Kalau kita tengok propaganda ini, mereka lakukan berulang-ulang, dengan tujuan lama-lama orang akan percaya.
“Saya rasa rakyat sudah celik pada waktu ini, dengan maklumat di hujung jari setiap orang, masing-masing boleh tengok apa yang diucapkan lima atau 10 tahun dahulu yang ada dirakamkan.
“Jadi tak timbul pun isu itu, mereka sebenarnya yang menimbulkan masalah sedemikian, ini boleh dilihat pada rekod yang lalu,” katanya.
Menteri Besar Terengganu itu turut menafikan kempen PN ketika ini kurang cergas sebaliknya menegaskan ia dilaksanakan secara agresif dengan strategi tersendiri bagi memikat hati pengundi.
“Gear satu atau dua, itu saya tak pasti, tapi dalam gerak kerja kempen ini ia ada strategi tersendiri. Kempen ada cara dan kaedah dia.
“Semestinya ada kepelbagaian dan bagi orang biasa mungkin melihatnya agak sejuk, tapi kempen sedang berjalan sangat aktif di kalangan jentera BN dan PN,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebagai rakan persefahaman yang baharu, usaha menggerakkan kempen bersama semestinya mengambil sedikit masa.
Menurut beliau, ketika ini ia masa fasa kedua dan didapati bukan sahaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PN, tapi di DUN ditandingi BN juga bergerak lancar.
“Memang mungkin menampakkan sedikit perlahan (kempen), nak persefahaman ini, orang kahwin pun perlu ambil masa… lambat sikit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






