Penyokong warga Jerman meninggal dunia sebelum aksi pembukaan Piala Dunia

Penyokong warga Jerman meninggal dunia sebelum aksi pembukaan Piala Dunia

Penyokong warga Jerman meninggal dunia sebelum aksi pembukaan Piala Dunia


Paramedik menghulurkan bantuan kecemasan kepada mangsa yang dipercayai mengalami serangan jantung dan rebah berhampiran Pintu 1 Stadium Azteca. Foto: Agensi

KEMERIAHAN aksi pembukaan Piala Dunia 2026 di Estadio Azteca sedikit tercalar apabila seorang penyokong warga Jerman dilaporkan meninggal dunia beberapa jam sebelum perlawanan antara Mexico dan Afrika Selatan.

Mangsa dipercayai mengalami serangan jantung ketika berada berhampiran Pintu 1 stadium bersejarah itu ketika ribuan penyokong mula membanjiri venue berkenaan menjelang sepak mula perlawanan.

Pasukan perubatan kecemasan yang bertugas sempena kejohanan berkenaan segera memberikan bantuan sejurus menerima laporan kejadian dan menjalankan prosedur bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

Namun, mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Setakat ini, identiti penuh serta umur mangsa belum disahkan berikutan terdapat perbezaan maklumat dalam laporan awal media tempatan dan antarabangsa.

Insiden itu berlaku pada hari Estadio Azteca mencipta sejarah sebagai stadium pertama menjadi tuan rumah perlawanan pembukaan bagi tiga edisi Piala Dunia selepas turut melakukannya pada 1970 dan 1986.

Sehingga kini, Persekutan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), pihak berkuasa tempatan dan pengurusan stadium belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian berkenaan.

Lazimnya, maklumat terperinci mengenai insiden seumpama itu hanya diumumkan selepas siasatan awal selesai dan waris mangsa dimaklumkan oleh pihak berkuasa.

Perlawanan pembukaan kejohanan menyaksikan Mexico menewaskan Afrika Selatan 2-0 di hadapan lebih 80,000 penonton di stadium berkenaan.



Source link

OR

Scroll to Top