Endo menarik diri daripada skuad Piala Dunia akibat kecederaan kaki. Foto: Agensi
KAPTEN Jepun, Wataru Endo menarik diri daripada skuad Piala Dunia negara itu akibat kecederaan kaki, menurut Persatuan Bolasepak Jepun (JFA), sebelum kemudian mengejutkan peminat apabila mengumumkan persaraan daripada tugas antarabangsa.
Pemain tengah Liverpool berusia 33 tahun itu membuat pengumuman berkenaan menerusi akaun X miliknya, hanya tiga hari sebelum aksi pembukaan Kumpulan F menentang Belanda.
Endo sebelum ini menjalani pembedahan pada kaki kiri pada Februari dan kembali beraksi dalam perlawanan pemanas badan menentang Iceland di Tokyo pada 31 Mei, namun tidak mencapai tahap kecergasan penuh untuk kejohanan tersebut.
Dalam kenyataannya, Endo menyatakan beliau telah berusaha sedaya upaya untuk pulih, namun tetap tidak dapat menyertai kejohanan terbesar itu.
“Sejak saya cedera hingga ke saat ini, saya telah melakukan segala yang saya mampu dan tiada penyesalan,” katanya.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat beraksi di Piala Dunia, namun menzahirkan kebanggaan pernah mengetuai skuad Jepun serta membangunkan pasukan yang disifatkannya berpotensi besar.
Endo turut menyeru penyokong negara itu untuk terus memberi sokongan kepada skuad Samurai Blue dalam kempen Piala Dunia.
Endo menutup kenyataannya dengan menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Jepun untuk mencipta kejayaan di pentas dunia serta menyatakan beliau kini akan menyokong pasukan sebagai penyokong biasa selepas ini.
Sementara itu, JFA mengesahkan pemain pertahanan Ajax, Ko Itakura dilantik sebagai kapten baharu, manakala penyerang Borussia Monchengladbach, Shuto Machino dipanggil sebagai pengganti Endo.
Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu membuat keputusan akhir berdasarkan laporan pasukan perubatan, menurut pengarah pasukan kebangsaan, Masakuni Yamamoto.
Rakan sepasukan, Itakura menyifatkan kehilangan Endo sebagai tamparan besar kepada skuad, namun menegaskan semangat pasukan kekal utuh menjelang kejohanan.






