Endrick (tengah) kelihatan sugul apabila tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Maghribi. Foto Agensi
BRAZIL terus berdepan tekanan awal Piala Dunia 2026 apabila sekadar terikat 1-1 dengan Maghribi dalam aksi pembukaan Kumpulan C, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat mengenai keputusan pengurus Carlo Ancelotti yang tidak menurunkan penyerang muda Endrick.
Dalam perlawanan tersebut, Ancelotti memilih untuk menurunkan Igor Thiago sebagai penyerang utama, namun pemain Brentford itu bergelut untuk memberi impak di bahagian serangan sebelum digantikan, ketika Brazil terus mencari penyelesaian di jentera serangan.
Keputusan tidak menurunkan Endrick turut mengundang persoalan dalam kalangan penyokong dan pemerhati, lebih-lebih lagi apabila Thiago dilihat kurang berkesan di hadapan gol, sebelum digantikan Matheus Cunha pada minit ke-60 perlawanan.
Ancelotti bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan mengulas mengenai pemain secara individu, sambil mempertahankan pendekatan taktikalnya selepas perlawanan.
“Saya tidak akan mengulas mengenai pemain individu. Saya di sini untuk bercakap tentang pasukan,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Ancelotti turut menolak dakwaan kononnya beliau menggesa Endrick meninggalkan Real Madrid, sebaliknya menjelaskan isu masa depan pemain itu perlu diselesaikan antara pemain dan kelab.






