Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan berkaitan dakwaan ketirisan subsidi kerajaan kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), termasuk komuniti Rohingya.
Menurut laporan Utusan, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, sistem yang diguna pakai ketika ini mampu mengelakkan penyalahgunaan subsidi kerana kebanyakan skim bantuan dan pembelian barangan bersubsidi memerlukan pengesahan menggunakan MyKad.
Beliau berkata, pelaksanaan Program BUDI MADANI bagi subsidi diesel serta pembelian minyak masak paket melalui sistem eCOSS hanya boleh diakses oleh individu yang mempunyai kad pengenalan Malaysia.
“Kad UNHCR bukan kad pengenalan dan tidak boleh digunakan untuk mengakses subsidi kerajaan. Maklum balas yang kita terima menunjukkan minyak masak paket mudah diperoleh oleh rakyat kerana sistem sedia ada berjaya menghalang ketirisan kepada pihak yang tidak layak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) sempena pembukaan baharu Pasar Raya Pantai Selamat, di Kuantan pada Ahad.
Foto: Utusan
Mengulas isu penglibatan warga Rohingya dalam sektor peruncitan pula, Fuziah menjelaskan bahawa hanya rakyat Malaysia dibenarkan mendaftarkan syarikat serta memperoleh lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk permit yang berkaitan dengan barangan kawalan.
Menurutnya, pekerja asing juga tidak dibenarkan ditempatkan di bahagian hadapan premis sebagai juruwang, sebaliknya hanya boleh menjalankan tugasan tertentu yang dibenarkan seperti menguruskan stor atau stok barangan.
“Jika terdapat warga asing yang menjalankan perniagaan atau melanggar syarat pekerjaan yang ditetapkan, orang ramai boleh membuat laporan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Foto arkib: Harian Metro
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PJRM terus mendapat sambutan dengan sebanyak 13,692 siri program dilaksanakan di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Januari hingga 13 Jun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 974 siri dianjurkan di Pahang bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
Sumber: Utusan (Khairulmizan Yahya)






