sukan@hmetro.com.my
Shah Alam: Pada usia ketika kebanyakan penerjun masih membina kemahiran asas, dua bakat muda Pahang, Noor Qaisara Dayana Saiful Nizam, 11, dan Nur Aisy’ Innara Amir Hafiz, 12, sudah mampu bergelar pemenang pingat Sukan Malaysia (SUKMA).
Penampilan sulung mereka di SUKMA Selangor 2026 dihiasi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama wanita selepas mengumpul 215.94 mata.
Gandingan Sarawak, Nur Eilisha Rania Abrar Raj dan Nurul Farisya Alia Affendi mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu dengan 259.74 mata, manakala wakil Perak, Siti Nurul Jannah Malik dan Trisya Ann Voon meraih perak dengan 216.18 mata.
Bagi dua produk Program Fast Track Akuatik Malaysia (MAS), kejayaan itu menjadi petanda awal mereka mampu menjadi sebahagian daripada generasi baharu penerjun negara.
Innara berkata, dia hadir ke temasya itu dengan sasaran untuk sekurang-kurangnya menaiki podium.
“Saya memang menyasarkan pingat. Saya memburu perak atau gangsa dan syukur akhirnya berjaya mendapat satu pingat hari ini,” katanya.
Qaisara turut melahirkan kegembiraan apabila mampu mencipta impak pada penampilan pertamanya di SUKMA.
“Saya sangat bangga kerana ini SUKMA pertama saya dan saya sudah berjaya memenangi pingat gangsa,” katanya.
Menariknya, kedua-dua mereka menceburi sukan terjun secara tidak dirancang.
Innara mula berjinak dengan sukan itu ketika Tahun Dua selepas seorang jurulatih melihat potensinya menerusi abangnya yang terbabit dalam gimnastik sebelum mencadangkannya mencuba terjun.
Qaisara pula terlebih dahulu menceburi gimnastik pada usia enam tahun sebelum seorang jurulatih yang mengenali bapanya menyarankan dia beralih kepada sukan terjun.
Kedua-dua penerjun itu menyertai Program Fast Track tahun lalu dan mengakui inisiatif berkenaan membantu meningkatkan prestasi mereka.
Program berkenaan diperkenalkan MAS bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membangunkan semula barisan pelapis terjun negara, dengan penerjun muda terpilih menjalani latihan sepenuh masa di pusat latihan kebangsaan di Bukit Jalil.
Matlamat jangka panjang program itu adalah melahirkan pengganti skuad kebangsaan ketika ini serta membangunkan atlet yang mampu mencabar pingat di Sukan SEA dan Kejohanan Dunia Remaja sebelum menyasarkan penampilan di Olimpik Brisbane 2032.
Jika Qaisara dan Innara memberi gambaran mengenai masa depan, gandingan Sarawak, Eilisha dan Farisya pula menunjukkan tahap yang perlu mereka capai.
Eilisha, 21, dan Farisya, 17, berjaya mempertahankan gelaran walaupun hanya menjalani latihan bersama dalam tempoh singkat sejak beberapa bulan lalu.
Eilisha yang menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Bukit Jalil berkata mereka hanya sempat menjalani dua atau tiga sesi latihan bersama dalam tempoh tiga bulan lalu kerana Farisya berada di Sarawak sejak Mei.
“Ia bukan mudah kerana kami berlatih secara berasingan. Saya berlatih bersama skuad kebangsaan manakala dia berlatih di Sarawak.
“Tetapi kami masih mempunyai keserasian seirama seperti sebelum ini dan syukur kami berjaya mengekalkannya,” katanya.
Farisya pula berkata, dia bertekad memburu emas dalam penampilan terakhirnya pada temasya kali ini.
Bagi Qaisara dan Innara, pingat gangsa itu mungkin hanya permulaan kepada perjalanan mereka dalam laluan pembangunan baharu terjun negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd
