Anwar mahu PH menang di Johor, gesa rakyat pilih kerajaan sealiran dengan pusat

Anwar mahu PH menang di Johor, gesa rakyat pilih kerajaan sealiran dengan pusat


MUAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad memenangkan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri selari dengan kepimpinan pusat.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, perkara itu bertujuan memastikan pembangunan yang dilaksana di negeri ini dapat mencapai sasaran ditetapkan khususnya bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

“Keutamaan saya adalah untuk bantu rakyat Malaysia, sebab itu saya baik dengan Amerika Syarikat, baik dengan China. Kalau tanya mengapa PRN Johor penting, sebab saya mahu Johor sealiran dengan pusat.

“Ini penting, kita mahu Johor sama (dengan pusat) agar senang berunding, senang tolong-menolong dan senang berbincang. Ini sebahagian negara kita, apa yang rakyat Johor mahukan kita boleh pilih laksanakan yang terbaik. Sebab itu saya mahu PH menang di Johor.

“Sebab itu pemimpin Johor mestilah seorang individu yang berani dan bijak, dia juga mesti tahu bahawa Johor adalah sebahagian daripada Malaysia. Apa yang kita (kerajaan pusat) buat adalah untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Pakatan Harapan di Pekan Bukit Bakri, di sini malam tadi.

Tambah beliau, pentadbiran beliau tidak melakukan inisiatif menyantuni rakyat semata-mata kerana bakal berdepan pilihan raya, sebaliknya usaha itu dibuat sejurus PH memenangi pilihan raya.

“Kita ambil tahu masalah rakyat, bukan tunggu waktu mahu adakan pilihan raya sahaja. Masa saya laksana Sumbangan Tunai Rahmah (STR) lepas menang pilihan raya, kerana orang susah tiada duit mahu beli susu anak tidak boleh tunggu.

“Bantuan juga dimasukkan terus ke dalam akaun, tidak perlu beratur berjam-jam. Ini saya memang tidak suka, orang ramai termasuk warga emas kena beratur untuk dapatkan bantuan. Jika 50 tahun dahulu mungkin boleh begitu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan segelintir pemimpin politik yang masih memainkan sentimen kebencian antara kaum untuk meraih undi dan sokongan golongan tertentu.

“Kalau kita sama-sama berpakat, kita sama-sama akan meraih keuntungan. Jangan ikut kata ahli politik yang pergi tempat Melayu tetapi marah-marah orang Cina. Ingat mereka betul-betul tolong orang Melayu ke, mereka kayakan diri sendiri dahulu.

“Hendak berpolitik jangan gunakan sentimen kebencian, sebaliknya fikirkan apa yang hendak dibuat dengan negara, fikir masa depan bukan isu Melayu, Cina, India, kuil. Kalau berpolitik hari-hari gaduh, bila negara akan maju.

“Oleh itu marilah kita sama-sama membangunkan negara ini, rakyat Johor diluar negeri, di Singapura baliklah mengundi. Setiap undi itu penting, jangan pandang ringan kerana kita mahu bawa perubahan,” katanya.

Anwar turut memberitahu, beliau akan mengadakan lawatan kerja ke Rusia dan Turkmenistan selama beberapa hari bermula esok sebelum kembali semula dan membantu jentera PH berkempen di Johor bagi memastikan kemenangan berpihak kepada gabungan itu.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top