am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Program MyLesen B2 (MyB2) yang dilancarkan awal tahun ini membabitkan 30,000 peserta dijangka selesai selewat-lewatnya hujung bulan depan.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ketika ini jumlah peserta mengambil bahagian dalam program itu masih diteruskan sehingga mencapai angka yang disasarkan.
Menurutnya, bagi Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) pula, pihak menjangkakan selesai selewat-lewatnya September ini.
“MyB2S membabitkan 60,000 peserta terdiri pelajar sekolah dan baru dilancarkan bulan lalu.
“Sudah tentu akan mengambil sedikit masa dengan mengambil kira tempoh pelancaran serta jumlah peserta.
“Untuk peserta MyB2, kita yakin dapat selesaikan bulan depan dan peserta akan mendapat lesen melalui program ini di seluruh negara.
“Sama ada program ini diteruskan atau tidak, kita akan adakan perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Pemerkasaan Belia Melalui Program MyB2 dan MyB2S di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yong Peng 1, di sini, hari ini.
Program dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang turut dihadiri Pengarah JPJ Johor Zulkarnain Yasin.
Dalam
pada itu, Aedy Fadly berkata, untuk tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10.5 juta bagi MyB2, manakala RM18.5 juta untuk MyB2S.
Menurutnya, seramai 8,000 peserta menerima manfaat daripada kedua program itudi Johor menerusi peruntukan berjumlah RM2.4 juta.
“Bagi program MyB2S, Johor menerima calon dan peruntukan tertinggi pada tahun ini dengan peserta akan menerima lesen belajar memandu L bagi memulakan fasa latihan amali dan seterusnya ujian memandu motosikal.
“Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan akan terus memperkukuhkan pelaksanaan program ini demi melahirkan ekosistem jalan raya yang lebih selamat, eklusif dan Mampan untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




