Polis gempur 2 kondominium di Segambut, rampas dadah bernilai RM1.72 juta

Polis gempur 2 kondominium di Segambut, rampas dadah bernilai  RM1.72 juta


hafidzul@hmetro.com.mu

Kuala Lumpur: Taktik seorang lelaki menjadikan dua unit kondominium di Segambut sebagai stor penyimpanan dadah terbongkar selepas dia ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM1.72 juta dalam serbuan pada 11 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, suspek warga tempatan berusia 51 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah unit kediaman di Jalan Lang Emas kira-kira jam 10.50 pagi.

Menurutnya, dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan serbuan dibawa ke sebuah bilik sebelah kiri rumah berkenaan di mana suspek menyerahkan satu paket plastik lutsinar.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua paket plastik tersebut berisi dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 33.85 gram.

“Suspek kemudian memandu arah pihak polis ke lokasi kedua beralamat di blok berbeza dalam kondominium yang sama.

“Hasil pemeriksaan di beberapa buah bilik di premis kedua itu membongkar stor penyimpanan lambakan dadah cecair, pil, dan serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Basri berkata 121 botol cecair MDMA, 165 bungkusan serbuk MDMA, ratusan pil , serta dadah jenis ketamin ditemui.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM1,720,722.50.

“Operasi ini berjaya menyekat rantaian bekalan dadah berskala besar daripada sampai ke tangan pengguna.

“Hasil daripada tangkapan dan rampasan berkenaan, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di kawasan Sentul. Jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu menampung penggunaan seramai 349,872 orang pengguna dadah,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai pekerjaan dan berstatus penganggur, manakala ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau. Hasil siasatan awal juga mendapati suspek terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah sejak enam bulan lalu.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 12 sehingga 18 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top