Mbappe meledak dua gol ketika Perancis menewaskan Senegal 3-1. Foto Agensi
KYLIAN Mbappe mencipta sejarah baharu bola sepak Perancis apabila meledak dua gol untuk membantu Les Bleus menewaskan Senegal 3-1 pada aksi pembukaan Kumpulan I Piala Dunia 2026 di Stadium New York New Jersey, awal pagi tadi.
Kemenangan itu bukan sahaja memberikan tiga mata berharga kepada Perancis, malah menyaksikan Mbappe muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad kebangsaan negaranya.
Perancis yang tampil selaku antara pasukan pilihan kejohanan menguasai sebahagian besar permainan, namun berdepan tentangan sengit daripada Senegal terutama pada babak pertama.
Senegal hampir membuka tirai jaringan menerusi Nicolas Jackson, namun percubaannya sekadar menggegar tiang gol sebelum situasi kelam-kabut berjaya diselamatkan penjaga gol Perancis, Mike Maignan.
Pasukan dari Afrika itu turut mensia-siakan peluang terbaik mereka sebelum rehat apabila Ismaila Sarr gagal menyempurnakan peluang keemasan ketika hanya berdepan gawang lawan.
Bersambung babak kedua, Perancis meningkatkan tempo permainan dan akhirnya memecah kebuntuan menerusi Mbappe yang bijak memanfaatkan hantaran Michael Olise untuk menewaskan penjaga gol Senegal.
Jaringan itu menyaksikan penyerang Real Madrid berkenaan menyamai rekod jaringan antarabangsa legenda Perancis, Olivier Giroud, sebelum terus mencipta sejarah beberapa minit kemudian.
Ketika Senegal berusaha mencari gol penyamaan, pemain gantian Bradley Barcola menggandakan kelebihan Perancis menerusi serangan pantas yang memerangkap benteng lawan.
Senegal bagaimanapun enggan mengalah dan berjaya merapatkan jurang menerusi gol Ibrahim Mbaye, sekali gus menghidupkan semula harapan mereka untuk mencuri mata.
Namun, Mbappe memastikan kemenangan mutlak Perancis apabila meledak gol kedua peribadinya menerusi rembatan jarak jauh yang menewaskan penjaga gol Senegal pada penghujung perlawanan.
Keputusan 3-1 itu meletakkan Perancis dalam kedudukan terbaik untuk menguasai Kumpulan I, manakala Mbappe terus mengukuhkan statusnya sebagai antara pemain paling berpengaruh di pentas bola sepak dunia.
Pemain sayap Perancis, Michael Olise, dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan hasil persembahan cemerlang yang menyumbang kepada kemenangan pasukannya.






