Penyokong AS ‘koyak’ lihat sambutan gol pemain Iran

Penyokong AS ‘koyak’ lihat sambutan gol pemain Iran


PEMAIN Iran, Mohammad Mohebi menjadi perhatian selepas sambutan golnya ketika aksi Piala Dunia menentang New Zealand pada Selasa mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong, di tengah-tengah suasana yang sudah pun dibayangi ketegangan geopolitik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS).

Mohebi yang beraksi bersama FC Rostov di Rusia menjaringkan gol kedua Iran dalam keputusan seri 2-2 do Los Angeles, sekali gus membantu pasukannya bangkit mengikat perlawanan.

Elijah Just menjadi watak utama New Zealand apabila meledak dua gol, namun Iran kekal memberi tentangan untuk membawa pulang satu mata.

Sebelum sepak mula, suasana di stadium sudah tegang dengan latar belakang hubungan dingin Iran–AS, selain protes di luar stadium serta reaksi bercampur-baur terhadap lagu kebangsaan Iran yang disambut sorakan, siulan dan ejekan sebahagian penonton.

Beberapa bendera lama Iran dengan lambang singa dan matahari yang diharamkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) turut dilihat di sekitar stadium, sekali gus mencerminkan sensitiviti politik yang turut mengiringi perlawanan tersebut.

Kontroversi kemudian tercetus apabila Mohebi melakukan sambutan gol dengan mengangkat dua jari dan menggerakkannya ke udara, yang disalah tafsir oleh sebahagian penyokong sebagai isyarat menyerupai pistol.

Dalam suasana yang sudah sarat dengan sensitiviti geopolitik, tindakan itu pantas mencetuskan reaksi tidak puas hati dalam kalangan penonton, sehingga ada yang menggesa FIFA meneliti insiden berkenaan.

Namun dalam bola sepak moden, sambutan gol sering berlaku secara spontan dan kerap menjadi ruang luahan emosi pemain tanpa niat politik, walaupun ia mudah diperbesarkan apabila melibatkan pasukan dari negara yang sedang berdepan ketegangan diplomatik.

Mohebi kemudian tampil menegaskan bahawa sambutan tersebut tidak membawa sebarang mesej tersirat atau provokasi.

“Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada semua penyokong Iran yang hadir di Los Angeles. Mereka mewujudkan suasana yang hebat dalam perlawanan itu.

“Sambutan itu hanya terlintas pada saat itu. Saya lakukan begitu sahaja untuk para peminat. Itu sahaja,” katanya.

Rakan sepasukan, Ramin Rezaeian yang menjaringkan gol pertama Iran turut menarik perhatian selepas menutup muka dengan jersi ketika meraikan gol, sambil mengakui sambutan itu mempunyai unsur politik namun enggan menghuraikannya.

Iran akan meneruskan kempen Kumpulan G dengan pertemuan menentang Belgium pada aksi seterusnya.



Source link

OR

Scroll to Top