Bendera England yang tidak menepati garis panduan ditetapkan penganjur akan dirampas di pintu masuk stadium. Foto: Agensi
PENYOKONG Three Lions yang hadir ke perlawanan pembukaan Piala Dunia antara England dan Croatia esok (4 pagi waktu Malaysia) berdepan risiko bendera mereka dirampas di pintu masuk stadium sekiranya gagal mematuhi garis panduan ketat ditetapkan penganjur.
Pegawai stadium memaklumkan kepada Kelab Penyokong England (ESC) bahawa hanya bendera kecil yang tahan api dan telah diluluskan dibenarkan dipamerkan di kawasan khas, manakala bendera besar atau tidak mendapat kebenaran boleh disita.
“Hanya bendera kecil yang tahan api dibenarkan dipamerkan di kawasan khas yang ditetapkan,” menurut garis panduan yang dikeluarkan pihak penganjur.
Peraturan itu turut melarang sebarang bendera digantung di papan iklan LED di dalam stadium, dengan hanya kawasan rail khas di belakang gol dibenarkan untuk tujuan berkenaan.
Dalam masa sama, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menegaskan sekatan tersebut dilaksanakan atas faktor keselamatan serta kelancaran operasi perlawanan di stadium.
FIFA turut menambah bahawa sebarang bendera yang bersifat politik, menghina atau mengandungi unsur diskriminasi adalah dilarang sama sekali.
Difahamkan, ESC telah menyediakan beberapa bendera yang telah diluluskan lebih awal bagi mengelakkan masalah di pintu masuk, namun penyokong biasa tetap berdepan risiko rampasan jika membawa bendera sendiri tanpa kelulusan.
Peraturan itu turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan pemerhati bola sepak antarabangsa yang menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan garis panduan yang dianggap kurang konsisten di beberapa venue.






