Mahkamah Kanada tolak rayuan visa Partey

Mahkamah Kanada tolak rayuan visa Partey


Thomas Partey terlepas aksi pembukaan Piala Dunia menentang Panama. Foto: Agensi

HARAPAN Ghana untuk mendapatkan khidmat pemain tengah berpengalaman, Thomas Partey pada aksi pembukaan Kumpulan L Piala Dunia 2026 berakhir apabila mahkamah Kanada menolak rayuan pemain itu terhadap keputusan penolakan visanya.

Keputusan berkenaan bermakna bekas pemain Arsenal dan Villarreal itu tidak dapat menyertai skuad Black Stars bagi perlawanan menentang Panama di Toronto esok (7 pagi waktu Malaysia), sekali gus memaksa Ghana memulakan kempen tanpa antara tonggak utama mereka.

Pihak imigresen Kanada sebelum ini menolak permohonan visa Partey susulan pertuduhan rogol dan serangan seksual yang sedang dihadapinya di Britain.

Walaupun belum disabitkan kesalahan dan menafikan semua tuduhan, undang-undang imigresen Kanada membenarkan kemasukan ditolak berdasarkan faktor ketidaklayakan tertentu.

Hakim Mahkamah Persekutuan Kanada, Roger Lafreniere menolak permohonan kecemasan yang dikemukakan Partey untuk membatalkan keputusan itu, sekali gus menutup peluangnya beraksi dalam perlawanan pembukaan Ghana di bumi Kanada.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Ghana, Carlos Queiroz menegaskan pasukannya sudah bersedia menghadapi Panama walaupun tanpa kehadiran pemain berusia 33 tahun itu.

“Kami menghormati keputusan yang dibuat dan fokus sepenuhnya kepada pemain yang ada bersama pasukan. Ghana mempunyai kualiti serta kemampuan untuk bersaing,” katanya.

Queiroz turut menyifatkan Panama sebagai lawan yang berdisiplin dan berpengalaman, namun yakin anak buahnya mampu memanfaatkan kepantasan serta kreativiti yang dimiliki untuk memulakan kempen dengan keputusan positif.

Sebelum ini, kerajaan Ghana mengemukakan bantahan rasmi terhadap keputusan Kanada yang disifatkan sebagai tidak adil, namun usaha itu gagal mengubah pendirian pihak berkuasa negara berkenaan.

Walaupun terlepas aksi menentang Panama, Partey masih berpeluang menyertai dua lagi perlawanan peringkat kumpulan menentang England dan Croatia yang dijadual berlangsung di Amerika Syarikat.



Source link

OR

Scroll to Top