Vance beri amaran kepada Israel supaya tidak mengkritik perjanjian AS-Iran

Vance beri amaran kepada Israel supaya tidak mengkritik perjanjian AS-Iran


Washington: Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance pada Khamis mengeluarkan teguran luar biasa kepada pengkritik Israel terhadap perjanjian dengan Iran, dengan memberi amaran supaya mereka tidak meminggirkan “satu-satunya sekutu kuat” yang masih mereka miliki di dunia.

Vance berkata kepada anggota kabinet Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya bangun dan sedar akan realiti ketika ketegangan antara Netanyahu dan Presiden AS, Donald Trump semakin memuncak.

“Donald J. Trump ialah satu-satunya ketua negara di seluruh dunia yang bersimpati terhadap negara Israel pada masa ini, dan kebetulan beliau juga ketua negara kuasa besar dunia,” kata Vance kepada wartawan dalam taklimat di Rumah Putih.

“Jika saya berada dalam kabinet kerajaan Israel, saya mungkin tidak akan menyerang satu-satunya sekutu kuat yang saya ada di mana-mana sahaja di dunia.”

Vance memuji Netanyahu kerana tidak mengkritik perjanjian itu secara peribadi, namun secara terbuka membangkitkan jumlah besar bantuan ketenteraan yang diberikan Amerika Syarikat kepada Israel, sekutu utamanya di Timur Tengah.

Kedua-dua negara itu bersama-sama melancarkan perang terhadap Iran pada 28 Februari, tetapi Trump menegur Israel kerana meneruskan serangan ke atas Lubnan yang dikatakan mengancam usaha memeterai perjanjian dengan Tehran.

“Sepanjang tiga bulan lalu, dua pertiga daripada senjata pertahanan yang melindungi tanah air anda dibina oleh tangan rakyat Amerika dan dibayar oleh wang cukai rakyat Amerika,” tambah Vance.

“Masalah Israel bukan Donald J. Trump – dan sesiapa di Israel yang berfikir bahawa masalah terbesar mereka ialah presiden Amerika Syarikat perlu bangun dan sedar akan realiti keadaan.”

Dalam temu bual dengan The New York Times yang diterbitkan pada Khamis, Vance secara langsung menamakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich sebagai pihak yang menyerang perjanjian tersebut.

“Saya rasa respons saya kepada mereka ialah – apakah cadangan sebenar anda? Anda sebuah negara dengan sembilan juta penduduk. Anda tidak boleh terus membunuh untuk menyelesaikan setiap masalah keselamatan negara yang anda hadapi,” kata Vance kepada akhbar itu.

Trump sendiri semakin lantang mengkritik jumlah korban yang tinggi akibat serangan Israel, khususnya terhadap Hizbullah di Lubnan.

“Apabila dua dron ditembak ke kawasan padang pasir dan jatuh tanpa mendatangkan bahaya, anda tidak perlu merobohkan bangunan di Beirut. Mereka boleh berkelakuan lebih baik dan terus terang, mereka boleh melakukan kerja yang lebih baik,” kata Trump dalam sidang media pada sidang kemuncak G7 di Perancis pada Rabu.

Pada Khamis, Trump menggesa Israel dan negara-negara Timur Tengah lain supaya mematuhi gencatan senjata.

“Kami menjangkakan gencatan senjata sepenuhnya di semua medan, termasuk Lubnan, Hizbullah dan Israel. Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini!” kata Trump di rangkaian sosial Truth Social miliknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top