PETALING JAYA: Pas disaran meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan membentuk gabungan baharu menggunakan logo serta jenamanya sendiri, manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kekal dalam gabungan itu bersama parti lain serta parti dalam Inisiatif Prihatin Rakyat (IPR).
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Pas kini semakin menjejaskan PN serta merosakkan jenama gabungan tersebut sehingga wajar mempertimbangkan perubahan struktur kepimpinan dalam gabungan berkenaan.
Katanya, Pas merupakan sebuah parti besar dengan kekuatan keahlian, kewangan dan jentera yang kukuh namun didakwa tidak menunjukkan komitmen penuh terhadap PN.
“Antara hujah utama kenapa Pas lebih wajar meninggalkan PN daripada Bersatu termasuk penglibatan Pas dalam rundingan politik di luar PN seperti Langkah Bangkok dan usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO.
“Selain itu, terdapat juga pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuan Bersatu atau PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Tun Faisal, Pas juga didakwa kurang menonjolkan jenama PN di beberapa negeri, sebaliknya lebih mengutamakan logo parti sendiri termasuk di Kelantan dan Terengganu, selain cadangan penggunaan logo Pas di Johor.
“Di bawah kepimpinan Pas dalam PN, terdapat dakwaan kelemahan dalam pengurusan konflik dalaman serta persiapan pilihan raya yang tidak agresif termasuk kelewatan mesyuarat dan rundingan kerusi.
“Selain itu, terdapat beberapa keputusan PN mengambil masa lama untuk dilaksanakan termasuk pelantikan Ketua Pembangkang dan pindaan perlembagaan gabungan tersebut.
“Proses membuat keputusan dalam PN juga didakwa menjadi tidak efisien kerana perlu dirujuk kepada kepimpinan Pas serta Majlis Syura Ulama, sekali gus melambatkan proses tindakan,” katanya.
Selain itu, beliau mendakwa jenama PN yang asalnya berimej lebih inklusif telah berubah menjadi terlalu sinonim dengan Pas, sekali gus menyukarkan usaha menarik sokongan parti bukan Melayu.
Katanya, keputusan dan tindakan politik Pas juga sering dilihat bercanggah dengan kepentingan PN serta memberi kesan kepada kekuatan gabungan.
“Jika benar terdapat rundingan antara Pas dan UMNO serta dakwaan Pas tidak bertanding dalam PRN Johor, maka adalah lebih wajar Pas meninggalkan PN dan menyertai MN bersama UMNO.
“Bersatu pula dicadangkan meneruskan PN bersama parti-parti lain bagi memastikan kelangsungan serta penjenamaan gabungan itu.
“Kesimpulannya, Pas kini lebih menjadi liabiliti kepada PN berbanding aset kerana isu komitmen, kelewatan keputusan serta tindakan yang didakwa menjejaskan kepentingan gabungan,” katanya. – UTUSAN






