Isteri dan anak inspirasi Harith Zazman dalam lagu, tiada impian kejar anugerah

Isteri dan anak inspirasi Harith Zazman dalam lagu, tiada impian kejar anugerah


norhayati_nordin@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Penyanyi dan komposer, Harith Zazman, 32, tidak pernah berhasrat membawa lagu ciptaannya untuk dipertandingkan dalam acara anugerah kerana sekadar ingin berkongsi hiburan dan rasa bahagia dilalui dalam kehidupan.

Menurut Harith, apatah lagi lagu-lagu dihasilkannya adalah ilham dan bentuk dedekasi kepada insan tersayang seperti isteri dan anak yang menjadi sumber inspirasi dalam menyebarkan erti sebenar kebahagiaan sebagai manusia biasa.

“Sejak buat lagu Cute (Stoplah Being So Cute) pada 2020 dulu yang saya cipta khas masa bercinta dengan isteri sampailah kami akhirnya berkahwin. Sekarang lagu baharu, Sempurna duet dengan Yonnyboii pula saya cipta sebagai dedikasi kepada isteri tercinta.

“Memang cara saya berkarya dengan hasilkan lagu-lagu yang ada kena-mengena kisah diri sendiri sebab rasa lebih dekat dan ‘intimate’. Jadi, kalau soal nak hantar lagu itu bertanding dalam acara anugerah seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Industri Muzik (AIM), tak pernah fikir pun.

“Terus terang, saya tidak ada sasaran ke arah itu (sertai acara anugerah) Bagi saya, sudah cukup sekiranya lagu-lagu dihasilkan dapat diterima dengan baik mesejnya oleh semua orang. Sebab, bukan senang nak pastikan orang boleh suka dengan lagu kita.

“Oleh itu apabila orang suka dan dapat terima, saya jadi lebih semangat untuk buat lagu. Apatah lagi, isteri saya menjadi sumber inspirasi kerana melihat pengorbanannya sebagai isteri dan ibu kepada anak saya sangatlah besar,” katanya kepada Harian Metro.

Harith berkahwin dengan wanita pilihan dikenali Nuramalina Ghakaskhah, 34, juga seorang model pada 28 Ogos 2021 dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Farrel Ali berusia empat tahun.

Berbicara lanjut, Harith atau nama sebenar nama sebenar, Mohamad Harith Saifuzzaman memaklumkan keluarga adalah nilai harta paling bermakna dalam kehidupannya sekali gus menjadi faktor dia sanggup ambil masa kira-kira dua tahun muncul semula dengan lagu baharu.

“Bagi menghasilkan lagu Sempurna ini, saya mengambil masa agak lama juga sebab saya berkahwin dan kemudian dikurniakan anak. Jadi, saya pastikan dulu memberi ruang kepada diri sendiri sebagai persediaan untuk bergelar seorang bapa.

“Sekarang, diri dan hidup saya sudah lengkap dengan adanya isteri dan anak. Kalau dulu masa bujang memang lain dan apabila sudah berkahwin dengan isteri, ia membuktikan di mana perbezaan itu sebenarnya adalah kesempurnaan untuk kita.

“Maksudnya, bila kita ada rasa perbezaan boleh jadi pendorong sentiasa nak betulkan diri masing-masing. Macam itulah yang saya dapat rasakan selepas berkahwin. Memang saya sedar ada banyak perbezaan dengan isteri.

*Kami datang daripada latar belakang yang berbeza dan kadang-kadang mempunyai pandangan bertentangan mengenai sesuatu perkara. Tetapi daripada perbezaan itu, boleh buat kami juga saling belajar dan memahami satu sama lain.

“Bagi saya, inilah maksud sebenar ‘sempurna’ yang nak dikongsikan kepada semua orang. Cukup sekadar kita terhibur dengan cara masing-masing dalam menjalani kehidupan di samping insan-insan tersayang yang wajar dicintai sepenuh hati,” katanya.

Lagu Sempurna hasil tulisan bersama Harith, Yonnyboii dan Justin Seow yang turut bertindak sebagai penerbit itu adalah dedekasi istimewa daripada lelaki yang sudah berkahwin sebagai suami dan bapa dalam perspektif pengalaman sebenar.

Jelas Harith lagi, karya lagu Sempurna juga adalah paling matang dan terlalu emosional pernah ditulisnya kerana turut menitiskan air mata mengenang isteri dan anak yang sentiasa muncul di fikaran dan sukar untuk digambarkan.

“Saya memang menangis ketika menulis lagu Sempurna ini sebab sangat dekat dengan pengalaman hidup sendiri. Saya tidak tahu kenapa mudah kalah dengan perasaan saya apabila ia berkait rapat dengan isteri dan anak. Hati rasa cepat tersentuh.

“Ketika bersama dengan anak di rumah pun hati saya akan berasa sayu dan boleh menangis tiba-tiba macam itu sahaja. Bayangkan tengok anak saya main-main yang dijaga sendiri sejak lahir pun boleh nangis. Apa lagi, teringat pengorbanan isteri ketika hamil dan melahirkan.

“Walaupun saya seorang yang sangat takut pada ketinggian, namun demi anak saya sanggup lupakan asal dia gembira. Jadi, saya harap orang lain juga dapat merasai apa yang saya rasa menerusi lagu Sempurna ini. Terimalah dengan baik,” katanya.

Memandangkan bulan Jun ini bertepatan dengan Sambutan Hari Bapa, Harith mengingatkan kepada semua pendengar agar menghargai apa sahaja perkara kecil dalam hubungan serta sedia terima perbezaan yang wujud dalam diri setiap insan tersayang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top