Perginya Cik Man, hilang sebutir bintang tinggalkan kenangan abadi

Perginya Cik Man, hilang sebutir bintang tinggalkan kenangan abadi


syafil.syazwan@hmetro.com.my

Dunia seni tanah air sekali lagi diselimuti duka apabila kehilangan seorang lagi bintang veteran yang tiada tolok bandingnya.

Tanggal 5 Ogos, seluruh negara khususnya peminat industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian pelakon veteran, Allahyarham Kamarool Yusoff atau nama sebenarnya Kamarozaman Yusoff, yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, Kelantan akibat masalah jantung pada jam 5.15 petang semalam.

Berita duka pemergian anak seni yang cukup disegani ini disahkan sendiri oleh anak bongsunya, Fakhrol Aliff.

Bagi penggiat seni serta ribuan peminat, Allahyarham Kamarool lebih mesra dan sering kali dipanggil dengan panggilan ‘Cik Man’.

Harus diakui, nama Cik Man itu bukan sekadar panggilan mesra, sebaliknya membawa rezeki dan memberikan impak amat besar dalam perjalanan kerjaya anak seni kelahiran Kelantan ini.

Panggilan ikonik itu bermula menerusi watak lakonannya dalam francais filem arahan pengarah Allahyarham Mamat Khalid, Rock pada 2005 apabila Kamarool memegang peranan buat pertama kali sebagai Cik Man MC.

Impak watak itu yang begitu hidup dan disenangi ramai menyebabkan peranannya dihidupkan semula dalam sekuel Rock Oo! (2013), seterusnya Rock Bro! (2014) dan Rock 4: Rockers Never Dai (2020).

Panggilan itu begitu melekat di hati ramai sehinggakan rakan-rakan media, sekurang-kurangnya dari generasi baharu turut memanggilnya dengan mesra sebagai Cik Man setiap kali bersua di pelbagai acara seni dan hiburan.

Antara trademark sinonim dengan Cik Man ialah gaya muncung bibir sambil tangannya diletakkan berhampiran wajah.

Manakala dialog ikoniknya pula ialah “Abang main taik dik, abang keluar rumah terus kena ngap…” (filem Rock Oo!).

Jika diimbas kembali lipatan sejarah pembabitannya, Allahyarham memulakan kerjaya seni seawal 1986 menerusi filem ikonik Gila Gila Remaja menerusi watak antagonis, Farouk.

Bakat lakonannya terus mekar dan melebarkan sayap apabila membintangi filem Rozana Cinta 87 dan Kepala Angin pada tahun berikutnya.

Sejak dari itu, nama dan wajahnya terus menghiasi lebih 60 filem layar lebar tanah air.

Antara filem-filem itu seperti Mat Gelap, Kanta Serigala, Perempuan, Isteri & …..?, Kaki Bakar, Gila-Gila Pengantin Remaja, Castello, Senario Dalam Pemburu Emas Yamashita, Jangan Pandang Belakang, V3 Samseng Jalanan, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Ombak Rindu dan Jibam.

Berilah apa sahaja watak, Cik Man pasti mampu menghidupkannya dengan cukup cemerlang dan bersungguh-sungguh.

Daripada watak jahat atau antagonis yang dibenci penonton sehinggalah kepada karakter pelawak yang menggelikan hati, kesemuanya berjaya diwarnai dengan acuan tersendiri.

Tidak sekadar berpandukan skrip, lontaran dialog dengan dialek Kelantan yang pekat dan semula jadi menjadi ‘trademark’ Cik Man.

Keunikan itu bukan sahaja menyentuh hati peminat filem layar lebar, tetapi juga peminat tegar drama-drama di televisyen tempatan.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham membintangi ratusan drama dan telefilem. Antara naskhah lakonannya yang paling mencuri tumpuan dan terus diingati penonton sehingga kini termasuklah drama Ceplos, Nasi Kerabu Untuk Che Abe serta pelbagai judul popular lain.

Bukan itu sahaja, fleksibiliti Allahyarham dalam bidang seni turut terbukti apabila kehadirannya sebagai artis jemputan sering mewarnai program-program komedi popular seperti Maharaja Lawak Mega.

Setiap kali melangkah ke pentas, kehadirannya sentiasa meninggalkan penonton dengan gelak tawa dan kenangan yang manis.

Pemergian Cik Man pastinya meninggalkan satu jurang yang sukar diisi dalam industri perfileman dan drama Melayu.

Walau bagaimanapun, segala sumbangan, dedikasi, senyuman serta gelak tawa yang pernah ditinggalkannya akan terus segar dalam ingatan seluruh peminat seni tanah air.

Semoga roh Cik Man dicoraki keampunan, dicemburui kebaikan serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top