Saya tidak mahu orang anggap saya artis bermasalah – Sharmaine Alaxander

Saya tidak mahu orang anggap saya artis bermasalah – Sharmaine Alaxander


PETALING JAYA: Tidak mahu dianggap sebagai artis bermasalah, pelakon meningkat naik, Sharmaine Alexander, menegaskan dia hanya bertindak membetulkan salah faham berhubung isu wajahnya dan bukan mahu melayan tuduhan berkenaan secara berpanjangan.

Sharmaine atau Sharmaine Ilenna Rudy Alexander, 25, berkata, apa-apa sahaja yang melibatkan namanya, dia tetap reda tetapi sekiranya terlalu melampau, dia akan cuba terangkan salah faham tersebut.

“Sebab itulah saya pertahankan diri saya kerana saya tidak mahu dibuli oleh orang yang tidak mengenali saya. Namun, itu adalah untuk kali ini sahaja dan saya tidak akan buat lagi selepas ini.

“Saya tidak mahu orang menganggap saya seorang yang bermasalah atau kurang ajar. Saya artis baharu dan saya okay sahaja dengan semuanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai tuduhan netizen terhadap fizikalnya, Sharmaine memberitahu bahawa tuduhan berkenaan sudah melepasi batas sehingga dia terpaksa mengeluarkan kenyataan bagi membetulkan keadaan.

“Tetapi apa yang netizen katakan bahawa saya membuat suntikan filler pada muka itu, itu sudah melampau. Sebab itulah saya bertindak mempertahankan diri saya.

“Saya seorang yang ceria dan tidak mahu jadi negatif atau menyebarkan aura buruk kepada sesiapapun. Saya hanya mahu hidup dengan tenang dan gembira,” ujarnya.

Meskipun terpaksa bertegas kali ini, Sharmaine secara peribadinya tetap mahu kekal profesional dan tidak mahu cepat tersinggung dengan pandangan senget sedemikian.

“Saya seorang yang profesional dan bukannya jenis orang yang mudah terasa atau tersinggung. Saya mengambilnya daripada sudut yang baik dan positif.

“Sekiranya ada orang cakap perkara buruk pasal saya sekalipun, saya akan terfikir mungkin dia sedang lalui sesuatu masalah. Saya akan berfikir secara positif dahulu sebelum berfikir negatif,” katanya.

Sebelum ini, Sharmaine meluahkan rasa kecewa selepas didakwa menjalani prosedur kosmetik.

Menerusi hantaran di Instagram, Sharmaine mengakui dia jarang berkongsi tentang kehidupan peribadinya namun dia terpaksa kerana tuduhan yang dilemparkan sudah melampaui batas.



Source link

OR

Scroll to Top