KELANTAN City FC memulakan era baharu dengan melantik jurulatih kelahiran Brazil, Wanderley Machado Da Silva Junior sebagai ketua jurulatih bagi menghadapi musim 2026/2027.
Pengumuman itu dibuat pada majlis pelancaran logo baharu dan penjenamaan semula kelab daripada Kelantan WTS FC kepada Kelantan City FC yang berlangsung di sini pada Jumaat.
Wanderley bukan nama asing dalam bola sepak Asia apabila memiliki pengalaman luas mengendalikan beberapa kelab di Thailand, Indonesia dan Malaysia sepanjang karier kejurulatihannya.
Antara pencapaian terbaik beliau ialah membantu Lamphun Warrior muncul juara Thai League 2 sebelum meraih promosi ke Thai League 1 pada musim 2021/2022, selain membawa Phrae United FC naik ke Thai League 2.
Pelabur bersama Kelantan City FC, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemilihan Wanderley dibuat berdasarkan pengalaman antarabangsa serta kemampuannya memahami budaya bola sepak rantau ini.
“Kami mahukan seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman antarabangsa dan DNA bola sepak Brazil. Beliau juga boleh berbahasa Melayu, sekali gus memudahkan komunikasi dengan pemain.
“Kami yakin pengalaman yang dimiliki mampu membantu Kelantan City FC menjadi pasukan yang lebih kompetitif,” katanya pada sidang media, Jumaat.
Annuar (empat dari kanan) pada majlis pelancaran logo baharu dan penjenamaan semula kelab daripada Kelantan WTS FC kepada Kelantan City FC.
Dalam pada itu, Annuar turut mendedahkan Kelantan City FC bakal memperkuatkan skuad dengan tiga pemain import bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim depan.
Menurutnya, seorang daripadanya ialah penyerang dari Brazil yang menjaringkan 23 gol musim lalu serta muncul penjaring terbanyak liga yang disertainya selama dua musim berturut-turut.
“Ketiga-tiga pemain import itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat bersama barisan pemain tempatan yang sedang dimuktamadkan.
“Walaupun beraksi dalam Liga A1 Semi Pro, kami mahu membentuk pasukan yang mampu bersaing dalam semua pertandingan termasuk Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya.

Annuar (enam dari kanan) bersama barisan kejurulatihan Kelantan City FC.
Annuar berkata, sebahagian besar skuad Kelantan City FC sudah dilengkapkan dengan gabungan pemain berpengalaman daripada Liga Super, Liga A1 Semi Pro serta beberapa tonggak Kelantan WTS musim lalu bagi mengangkat kekuatan pasukan ke tahap lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Kelantan City dibangunkan sebagai ‘hiburan kekeluargaan’ dengan pelaburan 20 peratus dimiliki pemilik asal WTS, Wan Muhd Ridhuan Wan Abdullah manakala 80 peratus dibuka kepada penaja luar.
“Kami juga bercadang 10 peratus daripada 80 peratus itu pula dibuka kepada peminat, mereka juga berpeluang menjadi pemegang saham,” katanya.






