MIKEL Oyarzabal mencipta sejarah Piala Dunia selepas aksi sensasi membantu Sepanyol membelasah Arab Saudi dalam perlawanan Kumpulan H.
Penyerang itu meledak dua gol dan mencatat satu bantuan jaringan dalam tempoh 25 minit pertama, sekali gus menjadi hanya pemain kedua sejak rekod bermula 1966 yang terlibat secara langsung dalam tiga gol pada fasa awal perlawanan Piala Dunia.
Satu-satunya pemain lain yang pernah melakukan pencapaian sama ialah bintang Hungary, Laszlo Fazekas yang mencatat satu gol dan dua bantuan jaringan ketika menentang El Salvador pada Piala Dunia 1982.
Sumbangan luar biasa Oyarzabal itu melonjakkan Sepanyol kerana sebelum ini berdepan kritikan susulan aksi hambar ketika menentang Cape Verde, apabila beliau gagal memberikan impak dalam tempoh awal perlawanan.
Dalam aksi berkenaan, Oyarzabal turut dikritik kerana tidak menyentuh bola secara signifikan pada babak awal, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap prestasinya bersama skuad La Roja.
Bagaimanapun, pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente tampil mempertahankan pemain itu dengan menyifatkan impaknya kepada pasukan jauh lebih besar daripada apa yang dilihat di atas padang serta menegaskan Oyarzabal mampu menjadi tonggak penting pasukan.
Dalam perlawanan menentang Arab Saudi, Lamine Yamal yang kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama membuka jaringan buat Sepanyol seawal minit ke-10.
Gol sendiri Hassan Altambakti melengkapkan kemenangan juara Eropah itu pada minit ke-49.





