De la Fuente anggap pengkritik Sepanyol ‘gila’ selepas belasah Arab Saudi

De la Fuente anggap pengkritik Sepanyol ‘gila’ selepas belasah Arab Saudi

De la Fuente anggap pengkritik Sepanyol ‘gila’ selepas belasah Arab Saudi


JURULATIH Sepanyol, Luis de la Fuente menyifatkan pihak yang meragui kemampuan pasukannya sebagai ‘gila’ selepas skuad La Roja bangkit dengan kemenangan meyakinkan 4-0 ke atas Arab Saudi dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia 2026.

Sepanyol sebelum ini menjadi sasaran kritikan susulan keputusan seri tanpa jaringan menentang Cape Verde yang mencetuskan persoalan mengenai kemampuan mereka untuk mencabar kejuaraan.

Bagaimanapun, kemenangan besar ke atas Arab Saudi yang dipacu kepulangan Lamine Yamal ke kesebelasan utama berjaya meredakan keraguan terhadap pasukan itu.

“Saya fikir adalah gila untuk mempersoalkan pasukan ini. Kami tidak tewas dalam 33 perlawanan berturut-turut.

“Ada hari yang baik, hari yang kurang baik dan hari yang biasa, tetapi meragui generasi pemain muda yang mempunyai masa depan cerah adalah sesuatu yang tidak adil,” katanya.

De la Fuente turut mengakui kritikan yang diterima sebelum ini memberi motivasi tambahan kepada pemain untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka.

“Tiada siapa suka dikritik. Sudah tentu maruah mereka tercalar kerana apa yang diperkatakan itu bukan gambaran sebenar pasukan ini.

“Kami mampu melakukan lebih baik daripada apa yang dipamerkan dan pemain memberikan reaksi yang tepat. Mereka adalah kumpulan yang sangat komited dan memiliki kualiti luar biasa,” katanya.

Dalam perlawanan itu, penyerang Mikel Oyarzabal turut mencuri tumpuan apabila menyumbang dua gol dan satu bantuan jaringan pada babak pertama.

Prestasi cemerlang itu hadir selepas beliau dikritik susulan aksi hambar ketika menentang Cape Verde, apabila gagal menyentuh bola sepanjang 30 minit pertama perlawanan.

De la Fuente mempertahankan pemain itu dan menyifatkan sumbangan Oyarzabal kepada pasukan jauh lebih besar daripada yang dilihat ramai pihak.

“Mereka yang benar-benar memahami bola sepak sangat menghargainya. Malangnya ada yang merasakan dia tidak memberi impak besar.

“Impak Mikel kepada pasukan ini sangat besar. Saya percaya dia mampu mencipta sejarah dalam bola sepak Sepanyol dan statistiknya membuktikan perkara itu,” katanya.

Sepanyol kini mengumpul empat mata daripada dua perlawanan, manakala Arab Saudi memiliki satu mata.

La Roja akan menentang Uruguay dalam aksi terakhir kumpulan dengan peluang cerah untuk melangkah ke pusingan kalah mati.



Source link

OR

Scroll to Top