DEBUTAN Piala Dunia, Cape Verde meneruskan aksi cemerlang apabila bangkit mengikat Uruguay 2-2 dalam aksi Kumpulan H, sekali gus mengukuhkan peluang mereka untuk mara ke pusingan 32 terbaik.
Selepas mengejutkan Sepanyol dengan keputusan seri pada perlawanan pembukaan, wakil Afrika itu sekali lagi membuktikan kemampuan mereka apabila meraih satu lagi mata berharga menentang juara dunia dua kali, Uruguay.
Cape Verde membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi Kevin Pina yang mencipta sejarah sebagai penjaring gol pertama negara itu di Piala Dunia menerusi sepakan percuma jarak jauh.
Bagaimanapun, Uruguay bangkit menjelang tamat babak pertama apabila menyamakan kedudukan menerusi Maximiliano Araujo pada minit ke-44 sebelum Agustin Canobbio meledak gol kedua pada masa kecederaan untuk meletakkan pasukannya di depan 2-1.
Uruguay dilihat berada di landasan tepat untuk meraih kemenangan pertama, namun kesilapan penjaga gol veteran berusia 40 tahun, Fernando Muslera mengubah segalanya.
Muslera meninggalkan gawangnya pada minit ke-61 dan kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain gantian Cape Verde, Helio Varela, yang mudah menolak bola ke dalam gawang kosong untuk menjadikan kedudukan 2-2.
Cape Verde hampir dikecewakan apabila Araujo sekali lagi menemui sasaran selepas penjaga gol mereka, Vozinha, gagal menangkap kemas bola, namun jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.
Uruguay terus memburu gol kemenangan pada penghujung perlawanan, tetapi sepakan percuma pemain tengah Real Madrid, Federico Valverde, melambung tinggi melepasi palang.
Keputusan itu menyaksikan Cape Verde mengumpul dua mata daripada dua perlawanan dan kini berpeluang besar melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati apabila menentang Arab Saudi dalam aksi terakhir kumpulan.
Sebaliknya, Uruguay kini berada dalam keadaan getir selepas sebelum ini turut diikat Arab Saudi 1-1. Mereka berkemungkinan perlu menewaskan juara Eropah, Sepanyol dalam perlawanan terakhir untuk mengelak penyingkiran awal buat kali kedua berturut-turut di peringkat kumpulan Piala Dunia.






