Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian bahawa penyelesaian terbaik bagi krisis Rohingya adalah melalui penghantaran pulang etnik tersebut secara selamat ke Myanmar.
Menerusi kenyataan di media sosial, beliau menyatakan perkara itu antara yang dibincangkan ketika pertemuan dua hala beliau dengan Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, yang turut menyentuh perkembangan semasa di Myanmar serta usaha mencari penyelesaian damai yang melibatkan semua pihak berkepentingan.
Hargai komitmen Bangladesh bantu isu Rohingya
Menurut Anwar, Malaysia menghargai komitmen Bangladesh yang selama ini memainkan peranan penting dalam membantu komuniti Rohingya yang terkesan akibat konflik berpanjangan di Myanmar.
“Kami memberi fokus kepada situasi di Myanmar, termasuk perkembangan berkaitan krisis Rohingya, serta menegaskan kepentingan meneruskan usaha damai melalui penglibatan menyeluruh semua pihak berkepentingan.
“Saya menghargai komitmen Bangladesh dalam membantu komuniti Rohingya dan Malaysia kekal berpendirian bahawa penyelesaian terbaik ialah penghantaran pulang mereka secara selamat ke Myanmar,” kata beliau dalam pertemuan empat mata dengan PM Bangladesh hari ini.
Pertemuan bincang usaha perkukuh hubungan 2 hala
Selain isu Rohingya, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pendidikan, pembangunan modal insan, pertanian, industri halal serta pengurusan tenaga kerja.
Pertemuan berkenaan juga menyaksikan pertukaran pandangan mengenai beberapa isu serantau dan antarabangsa yang memerlukan pendekatan berasaskan dialog, keamanan dan saling menghormati antara negara.
Foto: Pejabat Perdana Menteri
Dalam masa sama, Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap Bangladesh yang disifatkan sebagai rakan penting di Asia Selatan serta mempunyai potensi besar untuk memperluaskan lagi kerjasama ekonomi dan pembangunan.
“Saya percaya kesepakatan yang dicapai hari ini akan terus memperkukuh hubungan Malaysia dan Bangladesh serta membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan,” ujar lagi.
Foto: Pejabat Perdana Menteri
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim





